Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Wanita warga emas antara yang ditahan bersama tiga lelaki dalam dua gerakan operasi barang tegahan kastam yang dijalankan oleh Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan Seria, Daerah Belait pada 14 Januari lalu.
Menurut kenyataan JKED, hasil dua gerakan tersebut, JKED berjaya menahan dua lelaki penduduk tetap berumur 22 dan 33 tahun, seorang wanita penduduk tetap, 61, dan seorang lelaki tempatan, 58, atas kesalahan memiliki barang tegahan.
Barang-barang kesalahan kastam itu adalah 5,604 pelbagai jenis cecair vape, pod dan e-liquid, 3,982 aksesori vape dan 85 mod vape, 870 tin dan 158 botol minuman keras, 41 karton dan tujuh batang rokok, 30 kotak dan 73 biji mercun pelbagai jenis, daun-daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 61.1 gram (berat kasar), wang tunai berjumlah $25,498 dan SGD$3,228 dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan barang kesalahan kastam serta sebiji telefon bimbit dipercayai untuk menjalankan aktiviti penjualan barang kesalahan kastam.
JKED menyatakan kesemua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.
Dalam kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan larangan kastam.
Jabatan itu menegaskan bahawa memiliki barang-barang tegahan kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.
JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan mmaklumat berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.
Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsi maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi talian utama JKED, 8714422/8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan.
Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.