Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jokowi daftar untuk berpindah ke Surakarta

    SURAKARTA, 3 OKT – Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah mendaftar untuk menukar tempat kediamannya ke Surakarta, Jawa Tengah kerana beliau akan berpindah ke kampung halamannya selepas tempoh perkhidmatannya sebagai presiden berakhir bulan ini, lapor agensi berita ANTARA.

    “Presiden (Jokowi) telah memohon agar kediamannya didaftarkan semula sebagai Surakarta pada September lepas,” kata Setiausaha Daerah Kota Surakarta, Budi Murtono, kelmarin

    Murtono berkata pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menganjurkan majlis menyambut kepulangan Jokowi dan Wanita Pertama Iriana yang kembali ke Surakarta selepas 10 tahun di Jakarta.

    Setiausaha daerah itu turut menyatakan bahawa kediaman Naib Presiden terpilih, Gibran Rakabuming Raka masih didaftarkan di Surakarta. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan belum menerima sebarang permohonan daripada Gibran untuk menukar kediamannya ke ibu negara.

    Oleh itu, Jokowi dan Gibran akan didaftarkan untuk mengundi dalam pilihan raya tempatan 2024 di Surakarta.

    Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Kota Surakarta Bambang Christanto sebelum ini mengesahkan bahawa Jokowi dan Iriana telah didaftarkan untuk mengundi di tempat mengundi no.12 di Kampung Sumber, Kecamatan Banjarsari.

    Sementara itu, Gibran dan isterinya Selvi Ananda telah didaftarkan dalam daftar pemilih di tempat mengundi no.18 di Kampung Manahan, juga di Banjarsari.

    Christanto berkata tiada layanan istimewa akan diberikan kepada keluarga presiden kerana mengikut peraturan, keutamaan hanya akan diberikan kepada warga emas serta pengundi yang sakit, hamil, atau kurang upaya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda