Thursday, October 17, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jokowi sokong pilihan Kabinet Prabowo

    JAKARTA, 16 OKT – Presiden Joko Widodo yang bakal mengakhiri tempohnya, yakin Presiden terpilih, Prabowo Subianto telah menilai dengan teliti keputusannya untuk mengekalkan 16 menteri semasa untuk terus berkhidmat dalam pentadbiran akan datang.

    Bercakap di Aceh kelmarin, Presiden yang juga dikenali sebagai Jokowi, berkata: “Mengenai kira-kira 15 atau 16 menteri dalam Kabinet semasa, yang juga dipilih oleh Prabowo, saya percaya ini dilakukan melalui pertimbangan dan proses pemilihan yang teliti.”

    Menurut Jokowi, keputusan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo, telah dibentuk oleh lima tahun kerjasama mereka sejak 2019.

    Berikutan kekalahan pilihan raya kepada Jokowi pada 2014 dan 2019, Prabowo berdamai dengan Jokowi dan berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan untuk membantu memupuk kestabilan politik di Indonesia.

    “Dan sememangnya, hampir semua menteri ekonomi dikekalkan… itulah yang kita panggil kesinambungan,” tambah Jokowi, sambil menekankan bahawa pembentukan Kabinet akhirnya adalah hak prerogatif Prabowo.

    Prabowo baru-baru ini bersidang bersama 49 bakal menteri di kediamannya di Jakarta Selatan, termasuk tokoh-tokoh terkenal seperti Bahlil Lahadalia (Tenaga dan Sumber Mineral), Agus Harimurti Yudhoyono (Hal Ehwal Agraria dan Perancangan Ruang), Zulkifli Hasan (Perdagangan) dan Tito Karnavian (Hal Ehwal Dalam Negeri).

    Pelantikan utama lain mungkin termasuk Erick Thohir (Perusahaan Milik Negara), Airlangga Hartarto (Hal Ehwal Ekonomi), Sri Mulyani Indrawati (Kewangan), Rosan Perkasa Roeslani (Pelaburan) dan Pratikno (Setiausaha Negara).

    Bekas jeneral tentera itu, bersama Naib Presiden terpilih Gibran Rakabuming Raka, dijadualkan dilantik pada 20 Oktober untuk penggal 2024-2029, menggantikan Jokowi dan Naib Presiden, Ma’ruf Amin. – Bernama

    Joko Widodo (tiga kanan) bertemu dengan CEO semasa Forum CEO Kompas 100 2024 di Istana Garuda, di ibu kota Nusantara, di Panajam Paser Utara, Kalimantan Timur, pada 11 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda