Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie diperintahkan membayar RM10 juta kepada dua buah syarikat dalam kes saman yang disabitkan sebagai pinjaman persahabatan.
Menerusi dokumen Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan keputusan tersebut pada 2 dan 4 April lalu selepas membenarkan permohonan Bina Pragmatik Sdn Bhd dan Cekap Air Sdn Bhd untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian.
Mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.
Bagaimanapun, Jovian telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 30 April lepas, kongsi mStar.
Untuk rekod, Jovian disaman secara berasingan oleh kedua-dua syarikat tersebut pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjam atas dasar pinjaman persahabatan.
Dakwa Cekap Air, pihaknya telah meminjamkan sebanyak RM5 juta kepada Jovian pada 24 Februari 2022 dan Bina Pragmatik juga memindahkan wang RM5 juta kepada akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian pada 25 Mac 2022.
Menurut kedua-dua plantif, Jovian sepatutnya melunaskan pinjaman persahabatan tersebut dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Pinjaman itu juga diberi dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan adalah kenalan serta mereka tidak mempunyai alasan untuk meragui pereka fesyen itu kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain. – Agensi
