Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Dengan matlamat untuk mempromosikan hubungan persahabatan yang mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun, sebuah kapal Angkatan Maritim Pertahanan Diri Jepun (JMSDF), JS KIRISAME telah membuat persinggahan di negara ini dan berlabuh di Pelabuhan Muara, hari ini.
Kapal JS KIRISAME berada di negara ini hingga 11 April di mana ia membawa seramai 200 orang anggota Tentera Laut Jepun termasuk 40 orang kadet penerbangan dan 25 orang pegawai bertauliah di bawah Komander Escort Division 4, Kapten Maki Takayuki.
Ketibaan kapal berkenaan di Pelabuhan Muara dialu-alukan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dan pegawai-pegawai dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah KDB DARRUTAQWA, Komander Malek Fadillah bin PDJLD Dato Seri Pahlawan Haji Kifli, serta pegawai, kakitangan dan keluarga Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.
Semasa lawatan berkenaan, TYT Maeda Toru, Komander Malek Fadillah dan pegawai-pegawai TLDB serta Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam telah dialu-alukan untuk menaiki dan mengadakan kunjung ke kapal berkenaan dengan diiringi oleh Kapten Maki dan Pegawai Pemerintah JS KIRISAME, Komander Sakata Atsushi.
Pada lawatan berkenaan, Kapten Maki dan Komander Sakata telah bertukar-tukar cenderahati dengan Komander Malek Fadillah serta mengukuhkan lagi hubungan erat di antara kedua-dua tentera laut.




Lawatan JMSDF itu bermatlamat untuk memupuk dan mengembangkan asas kemahiran, pengetahuan serta perspektif antarabangsa dengan mempromosikan hubungan persahabatan yang mesra dengan negara-negara sahabat.
Semasa lawatan kapal berkenaan di negara ini, pegawai-pegawai kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan mengadakan lawatan ke kapal tersebut manakala pegawai-pegawai kadet Jepun akan mengadakan lawatan ke Pangkalan TLDB dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) semasa program pertukaran yang akan diadakan pada 10 April.
Dalam temu bual bersama Media Permata, Kapten Maki menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Jepun mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan yang terjalin sekian lama.
Beliau menyatakan bahawa kunjungan berkenaan dihasratkan untuk memberikan peluang kepada pegawai-pegawai kadet Jepun untuk menimba ilmu pengetahuan dan mengeratkan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan di negara yang dikunjungi oleh kapal berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa terdahulu sebelum mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam, kapal berkenaan telah mengadakan kunjungan ke Kemboja dan Malaysia di mana selepas lawatan ke Brunei, kapal berkenaan akan meneruskan perjalanannya pulang ke Jepun.
Pada lawatan ini, jelasnya, kapal JS KIRISAME hanya akan berlabuh selama tiga hari di mana ia akan menyaksikan program pertukaran lawatan antara pegawai-pegawai kadet ABDB dan pegawai-pegawai kadet Jepun.
Beliau menyatakan harapan menerusi program pertukaran berkenaan, ia akan bukan sahaja meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan para pegawai kadet tetapi juga mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara kedua-dua buah negara khususnya tentera laut mereka.
Pada masa yang sama, beliau berharap untuk mengadakan latihan bersama kedua-dua tentera laut dalam masa yang terdekat.

