Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Jual ubat tidak berdaftar, individu didenda $2,000

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Seorang individu telah diambil tindakan kerana terlibat dalam penjualan ubat termasuk pil pengguguran yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Ubat, Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, hari ini, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan telah berjaya memintas individu berkenaan dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 20 Disember 2023, selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai penjualan produk ubat di platform media sosial termasuk TikTok.

    Suspek berkenaan telah dipintas ketika sedang menjalankan aktiviti penjualan kepada pelanggannya di sebuah pusat membeli-belah.

    Pegawai penguat kuasa kemudian meneruskan pemeriksaan ke atas rumah suspek dan hasil operasi berkenaan telah berjaya merampas lapan jenis produk ubat.

    Operasi juga mendapati suspek berkenaan tidak mempunyai lesen bagi mengimport ubat-ubatan di bawah Perintah Ubat, 2007. Pesalah itu telah dikeluarkan denda kompaun sebanyak $2,000.

    Antara ubat tidak berdaftar yang dirampas. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa pengambilan pil pengguguran tanpa pengawasan dan pemantauan pengamal perubatan bertauliah boleh memberikan implikasi kepada kesihatan seperti rahim terkoyak, pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.

    Penjualan produk ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan tanpa lesen atau kebenaran daripada Kementerian Kesihatan adalah melanggar Bab 10, Perintah Ubat, 2007.

    Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dari $5,000 atau dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada apabila membeli produk kesihatan dengan iklan dan promosi yang berlebihan di laman media sosial yang tidak diketahui kesahihannya.

    Orang ramai juga hendaklah memastikan bahawa produk-produk tersebut mempunyai kebenaran dan kelulusan daripada pihak-pihak yang berwajib di negara ini.

    Dalam usaha Kementerian Kesihatan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan, orang ramai digalakkan bagi membuat aduan dan memberikan maklumat mengenai penjualan produk-produk yang di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Farmasi yang disyaki melanggar Perintah Ubat, 2007 dan peraturan-peraturan yang berkenaan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi melalui telefon 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel, pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus pegawai farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...