Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan Amal Ramadan Pertiwi kembali

    Oleh Nurdiyanah R

    BELAIT, 9 APRIL – Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Belait melancarkan Projek Jualan Amal Menjelang Hari Raya Aidilfitri pada majlis yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah, Seria, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancarannya ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Muhammad dan isteri, Dayang Khairunnisa Nadiah binti Abdul Ghani.

    Projek yang dipengerusikan oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi Daerah Belait, Dayang Fatimah Binti Tanji itu telah menyaksikan penyertaan daripada kalangan remaja, suri rumah tangga dan ibu tunggal khususnya dalam kalangan ahli Persatuan Pertiwi sendiri.

    Sementara itu, Haji Amirol dalam ucapannya turut menyatakan sokongannya terhadap inisiatif berterusan persatuan itu bukan sahaja memeriahkan bulan Ramadan tetapi juga meraih keuntungan jualan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam membiayai Tabung Anak Yatim Daerah Belait.

    Susulan ucapannya,majlis diteruskan dengan pemotongan reben dan lawatan ke pondok-pondok jualan.

    Jualan amal itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan sehingga malam melihat anak bulan Syawal.

    Sehubungan itu, Persatuan Pertiwi mengalu-alukan kunjungan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai pilihan kuih-muih yang lebih berkualiti dan trend terkini yang tersedia di ruang dalam bangunan dewan tersebut.

    Di bahagian luar bangunan juga turut disediakan jualan pakaian dan tanaman yang diungkayahkan bagi memberi pilihan kepada orang ramai membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

    Dalam pada itu, sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan berkenaan akan disumbangkan kepada Tabung Amal Anak-Anak Yatim Daerah Belait dan Tabung Amal Daerah Belait.

    Pemangku Pegawai Daerah Belait semasa menyampaikan ucapan di majlis tersebut.
    Pemangku Pegawai Daerah Belait semasa merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Amal PERTIWI ke-37.
    ATAS & BAWAH: Pemangku Pegawai Daerah Belait melawat petak jualan di majlis tersebut.

    Antara pengunjung yang hadir semasa perasmian Jualan Amal tersebut.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda