Saturday, February 8, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan daging kultur lulus

    LOS ANGELES, 22 JUN – Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan ayam kultur sel kepada pengguna, menurut dua syarikat pemula niaga yang menerima kelulusan pertama itu, kelmarin, lapor Xinhua.

    Jabatan Pertanian AS (USDA) memberi kelulusan dianggap penting itu kepada GOOD Meat dan UPSIDE Foods. Kedua-dua syarikat telah menerima pengesahan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) AS dua bulan lebih awal menyatakan ayam kultur kedua-dua syarikat itu selamat dimakan oleh manusia.

    “Kelulusan penting ini bermakna ayam keluaran syarikat, yang dihasilkan terus daripada sel haiwan, kini boleh dijual kepada pengguna Amerika,” menurut GOOD Meat dalam satu kenyataan.

    Bagi mendapatkan kelulusan untuk menghasilkan dan menjual daging yang diusahakan, pasukan saintis makanan, ahli biologi molekul dan jurutera teknikal UPSIDE Foods perlu lulus tiga langkah pengawalseliaan yang menyeluruh: Surat “Tiada Persoalan” daripada FDA, Kelulusan Label USDA dan Kebenaran Pemeriksaan USDA.

    Daging yang dikultur juga dikenali sebagai protein berasas sel atau kultur di makmal, dihasilkan dengan meletakkan sel stem daripada haiwan di dalam bekas dan dicampur nutrien yang betul untuk membiak dan membesar. – Bernama

    Cef Zach Tyndall menyediakan ayam kultur Good Meat di pejabat Eat Just, Alameda, California pada 14 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda