GENEVA, 22 NOV – Seramai 281 pekerja bantuan telah terbunuh di seluruh dunia setakat tahun ini, menjadikan 2024 sebagai tahun paling teruk bagi pekerja kemanusiaan, menurut Ketua Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hari ini.
“Petugas kemanusiaan sedang dibunuh pada kadar yang belum pernah terjadi sebelumnya.
“Keberanian dan kerja kemanusiaan mereka dibalas dengan peluru dan bom,” kata Tom Fletcher, ketua setiausaha agung PBB yang baharu bagi hal ehwal kemanusiaan dan penyelaras bantuan kecemasan.
Dengan lebih sebulan lagi sebelum 2024 berakhir, “peristiwa suram ini telah dicapai,” jelas beliau, selepas 280 petugas kemanusiaan dilaporkan terbunuh di 33 negara sepanjang 2023.
“Keganasan ini tidak wajar dan menjejas operasi bantuan,” kata Fletcher.
Pejabat beliau menyatakan konflik dahsyat di Gaza menjadi penyumbang utama kepada jumlah korban, dengan 333 petugas bantuan terbunuh di sana kebanyakan daripada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang tersebut.
“Negara dan pihak-pihak dalam konflik mesti melindungi petugas kemanusiaan, mematuhi undang-undang antarabangsa, menghukum pihak yang bertanggungjawab, dan menamatkan era bebas hukuman ini,” tegas Fletcher.
Pejabat beliau juga melaporkan bahawa petugas bantuan sering menjadi mangsa penculikan, kecederaan, gangguan dan penahanan sewenang-wenang di pelbagai negara seperti Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Sudan dan Ukraine.
Sebilangan besar kematian melibatkan kakitangan tempatan yang bekerja dengan organisasi bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi PBB dan gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, jelas pejabat Fletcher. – AFP