Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Jumlah panggilan kecemasan kebakaran menurun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Jumlah keseluruhan panggilan kecemasan yang dicatatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menurun sebanyak 12.4 peratus (838 panggilan) iaitu sebanyak 5,921 panggilan pada tahun 2021 berbanding pada tahun 2020 sebanyak 6,759 panggilan.

    Sementara itu, panggilan kebakaran struktur pada tahun 2021 juga mencatat penurunan sebanyak 12.4 peratus dan kerugian harta benda juga merekodkan penurunan sebanyak 41.8 peratus berbanding tahun 2020 serta tiada sebarang kes kematian direkodkan.

    Perkara itu antara yang dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan sempena Sambutan Hari Bomba dan Penyelamat, JBP ke-62 tahun yang berlangsung Dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kelmarin.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan, pada 2021 peratusan panggilan kebakaran rumah dan bangunan turut mencatatkan penurunan sebanyak 14.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Ini adalah hasil daripada program-program kesedaran dan kesiapsiagaan untuk orang ramai berhubung keselamatan kebakaran yang dikendalikan oleh JBP yang dijalankan secara proaktif dan ini terbukti daripada penglibatan orang awam dalam memadam kebakaran api kecil sebelum ketibaan anggota bomba di tempat kejadian.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan sempena Sambutan Hari Bomba, dan Penyelamat baru-baru ini. – Gambar serahan JBP

    Tindakan awal ini secara tidak langsung, boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kerugian harta benda di tahap yang minimum.

    Sehubungan ini, pada 2021, JBP telah menyampaikan penghargaan kepada seramai 48 orang awam yang menerima Sijil Masyarakat Berjasa iaitu sebagai First Responder. Sementara pada tahun ini, sehingga Mac 2022, seramai 17 orang awam telah menerima Sijil Masyarakat Berjasa.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, “Seramai 14,610 peserta dari agensi kerajaan dan swasta telah menyertai pelbagai program kesedaran awam antaranya seperti taklimat-taklimat, Lifesaver 995, marsyal bomba dan fire drill.”

    Manakala itu, seramai 1,480 orang marsyal bomba telah dilantik dari agensi-agensi kerajaan dan swasta.

    Beliau seterusnya menyeru orang ramai terutama agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat di mukim-mukim dan kampung untuk lebih proaktif dalam menyertai program-program yang dianjurkan oleh jabatan berkenaan.

    Ini adalah bagi sama-sama memikul tanggungjawab secara pendekatan Whole-of-Nation dalam usaha kerajaan memberi ke-sedaran akan keselamatan kebakaran, keprihatinan dalam menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kerugian harta benda semasa kebakaran secara minimum.

    Sehubungan itu, dalam memastikan pematuhan Perintah Keselamatan Kebakaran 2016, JBP telah menjalankan pemeriksaan bangunan-bangunan kerajaan dan premis-premis swasta.

    Hasil pemeriksaan yang dilaksanakan pada 2021 telah menunjukkan peningkatan dalam pemberian Sijil Perakuan Bomba kepada bangunan-bangunan kerajaan, iaitu sebanyak 47 peratus berbanding 2020 yang mana hanya 17 peratus mendapat sijil tersebut.

    Manakala yang gagal mematuhi piawaian Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 adalah sebanyak 53 peratus.

    Beliau seterusnya menambah, dalam masa yang sama premis-premis swasta yang telah lulus pemeriksaan dan diberikan sijil adalah sebanyak 89 peratus pada 2021 berbanding hanya 79 peratus pada 2020, sementara 11 peratus lagi gagal.

    “Pihak bomba tidak akan mengeluarkan Sijil Perakuan Bomba jika didapati mana-mana bangunan gagal mematuhi piawaian Perintah Keselamatan Kebakaran 2016,” tegasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...