BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan pada bulan April 2021 sebanyak $2,193.1 juta iaitu peningkatan sebanyak 91.8 peratus daripada $1,143.7 juta pada bulan yang sama tahun 2020.
Manakala, bagi perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi bulan April tahun ini meningkat sebanyak 30.1 peratus berbanding Mac 2021, menurut Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi April 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.
Sementara itu, jumlah eksport meningkat sebanyak 56.6 peratus tahun-ketahun kepada $1,138.6 juta berbanding $727.3 juta pada April 2020.
JPES menjelaskan ini disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $837.6 juta pada April 2021 daripada $624.5 juta pada April 2020 serta eksport kimia $262.7 juta pada April 2021 daripada $90.6 juta April 2020.
Peningkatan eksport bahan api galian terutamanya didorong oleh peningkatan eksport minyak mentah dan eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran. Peningkatan tersebut adalah disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$66.19 setong (April 2021) daripada AS$22.92 setong (April 2020) walaupun jumlah isi padu eksport minyak mentah menurun kepada 98.66 ribu tong sehari (April 2021) daripada 98.86 ribu tong sehari (April 2020). Manakala penyumbang utama peningkatan eksport produk petroleum bernilai $373.1 juta adalah bahan bakar diesel automotif dengan nilai $184.6 juta.
Bagi eksport kimia, peningkatan adalah terutamanya didorong oleh peningkatan eksport produk kimia daripada aktiviti hiliran selaras dengan peningkatan permintaan luar. Manakala itu, dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam sebanyak 73.6 peratus diikuti dengan kimia (23.1%), jentera dan kelengkapan pengangkutan (2.3%), barang-barang keluaran kilang (0.2%) dan pelbagai barang keluaran kilang (0.2%).
Bagi pasaran eksport utama pada April 2021 adalah Singapura dengan 31.9 peratus diikuti Republik Rakyat China (24.5%) dan Jepun (15.9%).
Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,054.5 juta pada April 2021 daripada $416.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu terutamanya disebabkan peningkatan import bahan api galian yang sebahagian besarnya digunakan sebagai input bagi penghasilan produk petrokimia.
Selain itu, peningkatan import dipe-ngaruhi peningkatan import makanan dan pelbagai barang keluaran kilang.
Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian (69.4%) diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (10.2%), makanan (6.9%), kimia (4.4%) dan barang-barang keluaran kilang (3.9%).
Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 58.8 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal yang mencatatkan sebanyak 36.8 peratus dan barang penggunaan dengan 4.4 peratus.
Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Singapura merekodkan 29.4 peratus diikuti oleh Malaysia dengan 25.2 peratus, dan Arab Saudi mencatatkan 10 peratus. Bahan api galian merupakan import kebanyakannya dari Singapura, Malaysia dan Arab Saudi.
Mengikut mod pengangkutan, pada April 2021, peratus yang tertinggi adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,097 juta bersamaan dengan 95.6 peratus. Ini diikuti oleh pengangkutan udara $72 juta atau 3.3 peratus dan melalui darat adalah sebanyak 24 juta atau 1.1 peratus.
IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan general system bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.
Laporan penuh IMTS bagi April 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.