Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah perdagangan Januari 2022 meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $2,607.8 juta pada Januari 2022, iaitu peningkatan sebanyak 92.8 peratus daripada $1,352.6 juta pada bulan yang sama 2021 dengan perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi Januari 2022 menurun sebanyak 1.2 peratus berbanding dengan Disember 2021.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, menyatakan bahawa jumlah eksport meningkat sebanyak 128.9 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,487.7 juta berbanding $649.9 juta pada Januari 2021.

    Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,072.0 juta pada Januari 2022 daripada $542.2 juta pada Januari 2021 dan juga eksport kimia meningkat kepada $377.9 juta pada Januari 2022 daripada $81.6 juta pada bulan yang sama pada 2021.

    JPES seterusnya menyatakan bahawa peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum.

    Peningkatan eksport LNG adalah disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$11.27 per MMBtu pada Januari 2022 daripada AS$7.04 per MMBtu pada Januari 2021.

    Prestasi perdagangan bagi Negara Brunei Darussalam antara Januari 2021 dan Januari 2022. – Gambar serahan JPES

    Manakala itu, nilai eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran meningkat kepada $542.5 juta daripada $145.5 juta pada tempoh yang sama, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.

    Sementara itu, daripada segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 72.1 peratus, diikuti dengan kimia iaitu 25.4 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 1.1 peratus.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa pasaran eksport utama pada Januari 2022 adalah Jepun dengan 24.7 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China iaitu 21.8 peratus, Singapura iaitu 10.2 peratus dan Vietnam iaitu 10.1 peratus di mana komoditi eksport terbesar ke Jepun adalah bahan api galian, manakala, ke Republik Rakyat China adalah bahan-bahan kimia.

    Sementara itu, bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,120.1 juta pada Januari 2022 daripada $702.7 juta pada Januari 2021 terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian.

    Kenyataan menyatakan bahawa lima komoditi import utama pada bulan ini, ialah bahan api galian dengan 73.5 peratus, diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 9.1 peratus, makanan iaitu 5.7 peratus, barang-barang keluaran kilang iaitu 3.6 peratus dan pelbagai barang keluaran kilang iaitu 3.5 peratus.

    Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 59.1 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal iaitu 36.7 peratus dan barang penggunaan iaitu 4.2 peratus.

    Mengikut mod pengangkutan, pada Januari 2022, peratus yang tertinggi ialah bagi kedua-dua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,470.2 juta iaitu 94.7 peratus, diikuti oleh pengangkutan udara iaitu $107.6 juta atau 4.1 peratus dan melalui darat iaitu $29.8 juta atau 1.1 peratus. Kenyataan menerangkan bahawa Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan general system bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

    Laporan penuh IMTS bagi bulan Januari 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda