Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan peningkatan sebanyak 13.5 peratus daripada $2,267.5 juta pada September 2021, kepada $2,572.8 juta pada September 2022 yang disumbangkan oleh kenaikan kedua-dua nilai eksport dan import antara tempoh berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, berbanding Ogos 2022, jumlah perdagangan menurun sebanyak 7.2 peratus disebabkan penurunan jumlah eksport dan import terutamanya bahan api galian.
Jumlah eksport meningkat sebanyak 22.6 peratus daripada $1,315.2 juta pada September 2021 kepada $1,612.2 juta pada September 2022 yang terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian iaitu daripada $955.3 juta kepada $1,372 juta dalam tempoh yang sama.
Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan nilai eksport minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum. Peningkatan eksport minyak mentah terutamanya disebabkan peningkatan harga purata sebanyak 33.8 peratus daripada AS$76.67 setong pada September 2021 kepada AS$102.62 setong pada September 2022.
Manakala, peningkatan eksport LNG juga disebabkan oleh kenaikan jumlah isi padu dan harga eksport masing-masing sebanyak 10.9 peratus dan 42.5 peratus.
Bagi eksport produk petroleum, ia telah mencatatkan peningkatan daripada $392.8 juta kepada $544.8 juta, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.
Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 85.1 peratus, diikuti dengan bahan kimia iaitu 13 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 0.7 peratus.
Pasaran eksport utama pada September 2022 adalah Australia dengan 22.2 peratus, diikuti oleh Jepun dengan 19.1 peratus dan Singapura dengan 14.1 peratus. Komoditi eksport terbesar ketiga-tiga negara itu adalah bahan api galian.
Jumlah nilai import meningkat daripada $952.3 juta pada September 2021 kepada $960.6 juta pada September 2022 terutamanya disebabkan peningkatan import bahan api galian sebagai input pengeluaran bagi industri petrokimia hiliran.
Lima komoditi import utama pada bulan berkenaan adalah bahan api galian dengan 69 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 10.5 peratus, makanan iaitu 7 peratus, barang-barang keluaran kilang iaitu 4.7 peratus serta bahan kimia iaitu 4.1 peratus.
Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia dengan 26.2 peratus, diikuti oleh Arab Saudi dengan 15.1 peratus dan Emiriah Arab Bersatu dengan 15 peratus di mana komoditi import terbesar adalah bahan api galian.
Kebanyakan import negara iaitu sebanyak 61.4 peratus adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan diikuti oleh barangan modal iaitu 35.3 peratus bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan iaitu 3.3 peratus bagi kegunaan isi rumah.
Pengangkutan melalui laut menyumbangkan bahagian tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import berjumlah $2,475.7 juta atau 96.2 peratus dan ia diikuti oleh pengangkutan udara berjumlah $58.8 juta atau 2.3 peratus dan melalui darat berjumlah $38.3 juta atau 1.5 peratus.
Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi September 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di deps.mofe.gov.bn.