KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Wakil termuda pelayaran ke sukan Olimpik Tokyo, Juni Karimah Noor Jamali dan pasangan Nuraisyah Jamil optimis telah hampir bersiap sedia sepenuhnya untuk beraksi pada sukan temasya terbesar dunia itu bulan ini.
Juni, 19, yang bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik itu yakin semua persiapan dalam negara kini hampir selesai, hanya berbaki aspek analisis teknikal dan taktikal di kawasan Jepun sahaja yang perlu dikaji.
“Saya pertama kali akan pergi ke Olimpik, jadi, saya harap dapat capai sasaran diletakkan jurulatih kami untuk berada dalam kelompok 15 terbaik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Juni kini sedang menjalani latihan saat akhir di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Pulau Langkawi di bawah kendalian jurulatih Muhammad Sahir A Rahim dan akan beraksi dalam acara International 470 wanita sebagai kru, manakala Nuraisyah sebagai ‘helm’.
Mengakui sangat teruja untuk beraksi di Tokyo demi lencana di dada, Juni berharap dapat memberikan aksi terbaik di Tokyo, dalam masa sama memberikan cabaran sengit kepada pelayar lain di Enoshima Yacht Harbor nanti. – Bernama