HONG KONG – Chan Yuen-ting, seorang warga Hong Kong telah membuat kejutan di peta bola sepak apabila beliau melakarkan sejarah dalam Liga Juara-juara AFC pada Rabu lalu. Namun apa yang lebih memeranjatkan ialah beliau adalah seorang jurulatih wanita.
Chan, digelar ‘Beef Ball’ berusia 28 tahun, bakal mencipta nama dalam buku rekod sebagai wanita pertama di dunia membawa sebuah pasukan lelaki profesional memasuki kejohanan kontinental, dalam menerajui pasukan Hong Kong Eastern.
Perlawanan ini tidak jauh daripada Hong Kong, di selatan tanah besar China – menentang pasukan Guangzhou Evergrande, sebuah pasukan mega dan kaya yang juga dikenali sebagai ‘Manchester United Asia’ dengan mempunyai dua gelaran Liga Juara-juara dan enam trofi domestik yang menjulang nama mereka.
Tetapi bagi Chan, yang menjadi jurulatih wanita pertama yang memenangi sebuah liga utama lelaki pada tahun lalu, beranggapan ia merupakan satu penghormatan bersaing menghadapi pasukan Evergrande yang diterajui oleh seorang jurulatih Piala Dunia, dari Brazil, Luiz Felipe Scolari.
“Saya tidak pernah membayangkan atau menyangka bahawa perkara ini akan berlaku dan sekarang kita bersaing dengan beliau, jadi saya merasa teruja dan tidak sabar bertemu dengan beliau,” kata Chan dalam laman web Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).
“Apa yang saya perlu lakukan ialah memberi tumpuan kepada pasukan kami dan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha yang telah kita lakukan.”
Chan membuat kejutan dalam menempah nama di Hong Kong pada tahun 2016, dimana pasukan Eastern menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar, dan menerima anugerah jurulatih terbaik AFC serta berada dalam senarai BBC sebagai 100 wanita yang paling berpengaruh di dunia.
Pasukan Eastern kemudian menjadi sebuah kelab pertama di Hong Kong yang mendapat tempat secara automatik ke dalam peringkat kumpulan Liga Juara-juara berdasarkan prestasi terkini pasukan itu dalam Kejohanan AFC.
Chan berkata Pasukan Eastern akan menumpukan perhatiannya kepada pertahanan – memahami corak permainan lawan dengan menggunakan ‘senjata api’ pemain daripada Brazil iaitu Paulinho, Ricardo Goulart dan Alan.
“Kami perlu memberi tumpuan kepada pertahanan, terutamanya disiplin dan sikap kita semasa perlawanan itu,” kata Chan.
“Buat masa ini saya tidak mahu mewujudkan tekanan tambahan untuk diri saya dan juga pemain agar kami dapat melakukannya yang terbaik dan cuba pergi sejauh yang boleh.”
Nama samaran Chan iaitu ‘Beef Ball’ diambil oleh kerana semangat kompetitif beliau dan sering dilaungkan oleh peminat pasukan Eastern, pertama kali menjadi tumpuan dalam kancah bola sepak semasa umur beliau masih 13 tahun lagi dan mengidolakan David Beckham. Beliau mengikuti perlawanan-perlawanan Manchester United di kaca televisyen dan minatnya akhirnya membawa kepada bidang kejurulartihan, walaupun mendapat tentangan daripada ibu bapanya.
“Semasa berada di atas padang, saya terlupa akan jantina saya sebagai seorang wanita. Saya berharap untuk menunjukkan kebolehan saya,” Chan memberitahu kepada AFP tahun lalu. “Saya berpendapat bahawa tidak kira berapa umur anda atau jantina anda, yang penting adalah kerja keras.”
Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak Hong Kong, Mark Sutcliffe berkata Chan telah menjadi cahaya yang bersinar buat golongan wanita yang terlibat dalam bahagian sukan di seluruh dunia.
“Kami merasa bangga bahawa Hong Kong telah memberikan peluang kepada jurulatih perempuan untuk memimpin di peringkat tertinggi,” kata Sutcliffe kepada AFP.
“Saya pasti beliau akan menjadi satu inspirasi buat golongan wanita di seluruh dunia,” tambah Sutcliffe.
Pasukan Evergrande akan memburu kejuaraan Liga Juara-juara buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun, dan sebagai tambahan insentif, seorang hartanah dan jutawan, Hui Kayan telah menawarkan 300 juta yuan (AS$43.68 juta) sebagai bonus bagi setiap kemenangan dalam kejohanan itu.
Tetapi apa sahaja keputusan pada hari perlawanan itu, kemunculan Chan dan Pasukan Eastern akan kekal sebagai detik penting bagi bola sepak wanita, dan juga bagi sukan di Asia.
“Ia adalah sesuatu suasana yang memecah tradisi dalam permainan bola sepak di Asia, bagi sukan wanita dan juga sukan global,” kata Presiden AFC Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa. “Dunia akan menontonnya.”
Namun pada perlawanan hari itu Pasukan Eastern telah tewas teruk kepada Pasukan lawan iaitu Guangzhou Evergrande dengan jaringan 7-0. – AFP