Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juruterbang maut dalam nahas helikopter

    MANILA, 2 FEB – Sebuah helikopter terhempas di wilayah utara Filipina, membunuh juruterbangnya, yang merupakan satu-satunya penumpang selepas dia membawa penumpang ke bandar berdekatan, kata pegawai Filipina, hari ini.

    Helikopter empat tempat duduk yang dimiliki oleh sebuah syarikat penerbangan domestik itu berlepas dari ibu negara Filipina, Manila, kelmarin, ke bandar peranginan pergunungan utara Baguio, di mana ia menurunkan penumpang, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina.

    Dari Baguio, helikopter itu mendarat di lapangan terbang di bandar Binalonan di berdekatan wilayah Pangasinan untuk mengisi minyak dalam perjalanan pulang ke Manila.

    Pegawai lapangan terbang Binalonan menyatakan bahawa ‘pesawat itu mengalami kesukaran menghidupkan semula enjinnya’ sebelum ia berjaya berlepas, menurut pihak berkuasa penerbangan awam.

    Helikopter itu kemudiannya terhempas di kawasan berpaya di bandar Guimba di wilayah Nueva Ecija, tenggara Pangasinan. Mayat juruterbang itu telah dikeluarkan daripada bangkai helikopter, yang sebahagiannya tertimbus dalam paya, kata pegawai polis.

    Pihak berkuasa penerbangan sedang menyiasat punca nahas tersebut. Filipina mempunyai sejarah kemalangan yang melibatkan pesawat kecil sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – AP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda