KUALA LUMPUR, 1 OGOS – Pemain perseorangan lelaki Malaysia yang semakin meningkat naik, Justin Hoh berpotensi untuk menjadi pengganti legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei.
Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek berkata Justin merupakan pemain terbaik pernah dibimbingnya sepanjang beliau mengemudi kem perseorangan remaja sebelum ini.
“Dia (Justin) bakat terbaik saya ada ketika itu, dalam masa tiga tahun terus menjadi. Dia seorang pemain yang mendengar (tunjuk ajar) dan hendak berjaya.
“Sebab itu dia cakap saya sebagai bapanya. Dia tahu sebab dia serahkan jiwa dan raga untuk jadi pemain berjaya,” katanya pada sidang media semalam.
Justin, 19, sebelum ini pernah merangkul beberapa gelaran antaranya Kejohanan Antarabangsa Bonn 2022 di Jerman, Terbuka Croatia 2022 dan Cabaran Antarabangsa Uganda 2023. – Bernama