Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jutaan rakyat China melancong dalam negara

    HONG KONG – Jutaan pelancong China biasanya menghabiskan cuti panjang Hari Kebangsaan mereka ke luar negara.

    Tahun ini, sekatan perjalanan kerana pandemik COVID-19 bermakna kira-kira 600 juta pelancong daripada sekitar 40 peratus penduduk akan melakukan perjalanan dalam negara semasa percutian yang bermula Khamis, menurut Ctrip, agensi pelancongan dalam talian terbesar di China.

    Masih menurun sebanyak 25 peratus berbanding tahun lalu, di mana pelancong melakukan 782 juta perjalanan domestik dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak 650 bilion yuan (AS$95.4 bilion), menurut data kerajaan.

    Penurunan berlaku kerana beberapa penduduk di China tetap waspada terhadap virus tersebut dan memilih untuk tidak ikut dalam percutian.

    Sempadan negara tetap ditutup untuk pendatang asing.

    Seorang budak lelaki bergambar dengan bendera negara China di depan kuil di Beijing, sekitar 40 peratus penduduk akan melakukan perjalanan di China semasa percutian hari kebangsaan dan pertengahan musim gugur. – AP
    Para pelancong berkumpul di dermaga di Tasik Barat di Hangzhou, wilayah Zhejiang, China. Jutaan pelancong China biasanya menggunakan cuti awam Hari Kebangsaan pergi ke luar negara. Tahun ini, sekatan perjalanan, kira-kira 600 juta pelancong melancong dalam negara. – AP

    Percutian lapan hari tahun ini dengan Festival Pertengahan Musim Gugur, akan menjadi ujian buat negara itu sama ada industri pelancongan China dapat bangkit semula selepas wabak itu berlaku pada awal tahun ini.

    Melancong di dalam negara, dan di bandar-bandar, mula terjejas sejak Tahun Baharu China lagi ketika China memerangi penularan COVID-19 yang muncul di pusat bandar Wuhan dan telah menjangkiti sekitar 34 juta orang serta membunuh lebih dari sejuta orang di seluruh dunia.

    Percutian panjang pada bulan Oktober biasanya merupakan waktu paling sibuk untuk perjalanan domestik.

    Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan mengatakan bahawa pendapatan pelancongan berjumlah 76.7 bilion yuan (AS$11.3 bilion) hampir 70 peratus tahun lalu.

    Di Beijing, 223 tempat tarikan pelancongan utama mencatatkan hampir 1.1 juta pelawat, kata Biro Kebudayaan dan Pelancongan bandar.

    Dengan pelancong yang berbelanja terbesar di dunia membelanjakan wang mereka dalam negara, kerajaan tempatan menawarkan potongan dan subsidi kepada pelancong, termasuk tiket percuma ke tempat menarik.

    Zhao Kerui, seorang pereka dengan jadual kerja yang fleksibel, sering melakukan beberapa perjalanan ke luar negara setiap tahun. Tahun lalu, dia mengunjungi Malaysia dan Jepun.

    Dia telah merancang untuk mengunjungi Istanbul di Turki atau ke pulau Jeju di Korea Selatan tahun ini, tetapi akhirnya memutuskan untuk mengunjungi kota-kota seperti Chengdu, yang dikenali sebagai rumah panda dan juga Guilin yang indah, yang terkenal dengan bukit batu kapur.

    “Untuk melakukan perjalanan ke luar ne-gara, anda akan dikuarantin hampir sebulan ketika anda tiba, dan apabila anda kembali, sekali lagi dikuarantin,” kata Zhao. “Hampir sebulan berlalu dengan anda tidak melakukan apa-apa.”

    Cao Ke, seorang penyelidik sains di Shanghai, biasanya menghabiskan cuti Hari Kebangsaan dengan bersantai di pantai di pulau Phuket Thailand.

    Tahun ini dia menuju ke wilayah pesisir selatan Fujian di China, dengan harapan dapat merakamkan beberapa gambar yang bagus.

    “Saya biasanya lebih suka melancong ke luar negara, kerana terlalu banyak orang yang melancong di dalam negeri, penginapan dan makanan menjadi sangat mahal,” kata Cao.

    Itulah sentimen yang dikongsi oleh banyak orang di China yang mampu terbang ke luar negara untuk bercuti tetapi sekarang dihalang oleh sekatan penerbangan dan sekatan kuarantin.

    Thailand, salah satu destinasi paling popular di kalangan pelancong China, menutup lapangan terbangnya kepada penerbangan komersial antarabangsa pada bulan April dan belum dibuka sepenuhnya untuk pelancongan.

    Oleh itu, pelancong China akan berkumpul di tempat-tempat menarik, seperti pusat peranginan Disneyland di Shanghai dan zoo penyelidikan panda di bandar Chengdu, kata laporan Ctrip.

    China adalah salah satu dari beberapa negara di dunia di mana berjuta-juta orang bebas melakukan pelancongan dalam negara, sementara kebanyakan negara tidak menganjurkan perjalanan yang tidak penting ketika mereka memerangi wabak.

    China tidak melaporkan sebarang jangkitan COVID-19 baharu sejak 16 Ogos, dan kementerian kebudayaan dan pelancongan negara itu bulan lalu mengurangkan sekatan di lokasi pelancongan, yang memungkinkan mereka beroperasi dengan kapasiti 75 peratus.

    Pengunjung juga digalakkan untuk mematuhi peraturan penjarakan sosial semasa perjalanan.

    Jumlah pelancong yang datang mengunjungi tarikan utama di seluruh negara itu melonjak hampir 159 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding dengan suku sebelumnya, pada puncak wabak. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda