PaARIS, 6 OGOS – Jutawan Perancis-Israel, Patrick Drahi bersedia untuk membuat penampilan yang jarang berlaku di hadapan pelabur minggu ini dengan empayar perniagaan multinasionalnya, Altice dibelenggu skandal rasuah.
Drahi yang berpangkalan di Switzerland, memiliki empayar yang merangkumi telekomunikasi dan media di Eropah, Israel dan Amerika Utara, dijangka cuba meredakan kebimbangan pelabur beberapa minggu selepas salah seorang pegawai tertingginya ditahan di Portugal.
Pihak berkuasa di sana telah menuduh jutawan Portugis, Armando Pereira melakukan 11 kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram, dengan dakwaan utama bahawa dia menubuhkan rangkaian pembekal palsu untuk menggelapkan wang melalui sistem perolehan Altice.
Pereira menafikan dakwaan itu tetapi skandal itu telah tular dari Portugal ke bahagian lain empayar Drahi, dengan eksekutif di Amerika Syarikat dan Perancis dipecat, digantung atau mengundurkan diri.
Drahi, yang pada umumnya mengekalkan profil rendah, telah mengumpul kekayaan dianggarkan bernilai lebih AS$10 bilion, menjadikannya orang ke-13 terkaya Perancis, menurut majalah Perancis, Challenge. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P14-C-AFP_07082023.jpg)