Saturday, September 14, 2024
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    KACA lancar projek rintis

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Sempena penubuhannya yang ke-37, Pusat Kanak-kanak Cacat (KACA) telah melancarkan Program Latihan dan Bimbingan di Rumah 2023, hari ini.

    Pelancarannya disempurnakan oleh Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.

    Seramai 12 orang kanak-kanak KACA telah dikenal pasti di peringkat awal sebagai projek rintis, yang mempunyai kesukaran dalam pembelajaran, tingkah laku dan pelbagai kesukaran.

    Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman menjelaskan bahawa kakitangan dan sukarelawan KACA akan membuat lawatan ke rumah, sekali gus membimbing dan melatih ibu bapa, abang atau kakak dan ahli keluarga mengenai 3M iaitu Melatih, Membimbing dan Menilai.

    Ia dilaksanakan bagi memberi kepercayaan dan keyakinan ibu bapa terhadap pemulihan atau bimbingan di rumah.

    Beliau berkata, beberapa program akan disusun mengikut keperluan kanak-kanak berkenaan dengan rekod perkembangan dan kemajuan akan dicatat, bagi persediaan untuk memberi program seterusnya.

    Selain itu, KACA juga akan merujuk mana-mana kes kepada agensi-agensi berkenaan untuk mendapat bantuan atau khidmat selanjutnya dalam hal-hal rawatan dan pemulihan.

    Menurut beliau, matlamat utama program berkenaan di tiga pusat KACA adalah sebagai penanda aras untuk menempatkan segala kemudahan program atau aktiviti bagi mewujudkan institut latihan khas yang akan menyediakan fasiliti pemulihan dan pendidikan yang berasaskan Program Pendidikan Awal dan Pendidikan Khas dari peringkat anak damit hingga ke prasekolah sekali gus ke Tahun 6 (setahun hingga 12 tahun).

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

    Presiden KACA dan Pengarah Urusan KACA bergambar ramai semasa majlis pelancaran kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda