Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kadar kematian kanser kanak-kanak menurun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan kadar kematian kanser kanak-kanak 27 peratus dalam tempoh antara tahun 2000 sehingga 2022, menurun daripada 31.25 peratus pada tempoh yang sama.

    Manakala dalam tempoh antara 2002 sehingga 2021, seramai 335 kanak-kanak berusia dari sifar sehingga 19 tahun telah didiagnos kanser.

    Berdasarkan data pendaftaran kanser Hospital Based Cancer Registry, terdapat sedikit peningkatan jumlah kanak-kanak yang didiagnos kanser dalam kalangan umur di antara sifar sehingga 12 tahun iaitu daripada 61 kanak-kanak pada tempoh 2000-2009 kepada 117 kanak-kanak pada tempoh 2010-2022.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu semasa berucap pada Hari Kesedaran Talasemia dan Kanser Kanak-kanak 2022 yang berlangsung di Times Square, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, meskipun jumlah didiagnos kanser meningkat, kadar kematian telah pun menurun hampir 5 peratus.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan bergambar ramai bersama kanak-kanak pejuang kanser pada majlis itu.
    Antara aktiviti yang dianjurkan semasa acara tersebut.

    Kanser yang sering didiagnos dalam kalangan kanak-kanak pula adalah kanser leukemia dan barah otak.

    Manakala penyakit talasemia pula adalah penyakit genetik sel darah merah yang menyebabkan tubuh kekurangan sel darah hemoglobin yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh.

    Menurutnya, sebagai penyakit genetik, talasemia diturunkan kepada anak daripada kedua ibu bapa yang membawa gen talasemia.

    Bagi mereka yang menghidapi penyakit talasemia major, ia memerlukan rawatan sepanjang hayat dan rawatan yang biasa diberikan adalah pemindahan darah setiap bulan dan rawatan penyingkiran zat besi.

    Beliau seterusnya menjelaskan, pada masa ini terdapat 64 penyakit talasemia yang memerlukan pemindahan darah ataupun Transfusion Dependant Thalassemia (TDT) di negara ini.

    Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa ramai kanak-kanak yang sembuh dari kanser menjalani kehidupan yang panjang, bahagia, sihat dan produktif.

    Beliau turut memuji inisiatif Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) sempena Hari Kesedaran Talasemia dan Kanser Kanak-kanak 2022 yang telah mengaturkan beberapa aktiviti khusus bagi tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kanak-kanak yang menghidap kanser.

    Beliau juga menyeru agar kanak-kanak yang menghidap talasemia kekal aktif melakukan kegiatan aktiviti fizikal yang bersesuaian dan selamat serta membudayakan cara hidup sihat.

    Dalam ucapannya, beliau turut mengongsikan rawatan bagi kanak-kanak yang menghidap kanser dan talasemia telah berkembang maju secara signifikan dan telah membawa kepada peningkatan kadar kelangsungan hidup.

    “Penghidap kanser sekarang mencapai usia dewasa akan tetapi mereka mungkin menghadapi kesan lewat daripada rawatan yang telah dijalani. Salah satu kesan sampingan utama yang dihadapi adalah keletihan atau fatigue yang boleh membawa kepada tingkah laku sedentari dan tahap aktiviti fizikal yang rendah,” katanya.

    Di samping itu, bukti kajian menunjukkan bahawa hanya sedikit daripada golongan penghidap kanser kanak-kanak dan talasemia yang terselamat dengan mengamalkan diet yang berkhasiat atau seimbang.

    “Ini boleh menyumbang kepada perkembangan obesiti dan penyakit kardiovaskular terutamanya dalam kumpulan ‘survivor’ kanser kanak-kanak,” tambahnya.

    Beliau juga mengongsikan Garis Panduan Senaman Onkologi Pediatrik Antarbangsa bagi pesakit kanser untuk menjalani latihan senaman aerobik dan latihan kekuatan tiga kali seminggu untuk tempoh 20 hingga 60 minit.

    Manakala, pesakit talasemia dinasihatkan untuk berjalan selama sekurang-kurangnya 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu dan sebaik-baiknya pada setiap hari.

    “Pergerakan dan senaman adalah penting untuk perkembangan sihat kanak-kanak dan remaja yang menghidap penyakit kronik,” jelasnya.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...