Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Jabatan Siasatan Kawalan Lalu lintas (JSKLL) , Pasukan Polis Diraja Brunei mengumumkan beberapa kesalahan yang tidak dapat dikompaun sebelum ini, kini akan menjadi kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun berdasarkan pindaan kepada Aturan-aturan Lalu Lintas Jalan Raya (Penyelesaian Kesalahan-kesalahan), 1967 yang telah dikeluarkan pada 10 Oktober 2016 lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan tersebut hari ini, sebanyak 92 kesalahan lalu lintas yang boleh dikenakan kompaun telah dikenal pasti sebagai kesalahan-kesalahan yang kerap dilakukan pengguna jalan raya.
Manakala sebanyak 38 lagi kesalahan lalu lintas, telah disemak semula kadar kompaunnya berkuat kuasa pada 1 Februari 2017 lalu, dengan kadar kompaun yang sudah ditetapkan adalah lebih rendah berbanding hukuman denda yang dijatuhkan oleh mahkamah, tertakluk kepada fakta kes.