Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan penurunan iaitu 227 kes sehari, berbanding kadar pada minggu sebelumnya iaitu 255 kes sehari.
Sebanyak 27,710 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu ini di mana 5.7 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
Perkembangan tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, tidak ada kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala satu kes berada dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
“Sehingga kelmarin, 2 Januari, kadar liputan vaksinasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 79 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.6 peratus juga telah mendapatkan dos keempat,” jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.


Selain itu, beliau juga mengongsikan sebanyak 389 kes baharu telah dilaporkan hari ini iaitu 388 kes hasil ujian ART dan satu kes hasil daripada 62 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Di kesempatan itu, beliau sebagai mewakili warga Kementerian Kesihatan mengucapkan tahniah dan syabas atas semangat dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh rakyat dan penduduk Brunei Darussalam yang telah sama-sama berusaha sehingga berjaya mencapai matlamat Cabaran 20 Bilion Langkah.
“Sasaran tersebut telah dicapai tepat jam 7:20 malam pada 31 Disember 2022 melalui penyertaan lebih 74,000 peserta dalam masa 145 hari 23 jam dan 59 minit sejak ia bermula pada 1 Oktober 2022,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Jelasnya lagi, jumlah mutakhir langkah yang dicatatkan apabila cabaran tersebut menutup tirainya pada tengah malam hari berkena-an ialah sebanyak 20,128,540,942 langkah.
“Kejayaan ini seharusnya mendorong seluruh rakyat dan penduduk negara ini untuk terus aktif melakukan aktiviti-aktiviti kesukanan dan riadah bagi kesihatan bersama yang optimum. Teruslah bergerak untuk kesihatan, setiap langkah adalah penting. Every Little Move Counts!,” seru Yang Berhormat Dato.

