Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Kedutaan Jepun ke Negara Brunei Darussalam telah mengumumkan inisiatif inovatif pembelajaran Bahasa Jepun terbaru anjuran Yayasan Jepun melalui laman sesawang e-Learning ‘Minato’ yang dibuka kepada orang ramai di seluruh dunia.
Laman sesawang e-Minato ini juga dibukakan kepada rakyat Brunei Darussalam yang bertujuan untuk membantu pembelajaran Bahasa Jepun bagi para pelajar yang sedang belajar dan hendak belajar bahasa berkenaan lebih lancar dan mendapat lebih banyak maklumat mengenai Bahasa Jepun yang sempurna.
Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun ke Brunei Darussalam, Rie Arai Sakumoto semasa sidang media yang berlangsung di Kedutaan Jepun, Kiulap, hari ini, menjelaskan bahawa e-Learning Minato yang ditubuhkan oleh Yayasan Jepun itu merupakan platform pembelajaran Bahasa Jepun elektronik dengan peralatan yang direka bentuk untuk membolehkan semua pelajar mempelajari Bahasa Jepun dengan lebih mudah difahami.
Program Pembelajaran Bahasa Jepun Elektronik ini antara lain juga bertujuan memberi kesempatan kepada mereka yang ingin belajar tetapi tidak mempunyai tempat atau sekolah untuk mempelajari.
e-Minato ini boleh diakses menerusi komputer riba atau telefon pintar di mana juga berada. Ia menyediakan pelbagai kursus yang diperlukan sesuai bagi mereka untuk memulakan pembelajaran.
Antara kursus-kursus yang tersedia ialah Kursus ‘Marugoto’ yang merupakan kaedah pengajaran bersepadu untuk Bahasa Jepun dan budaya serta Kursus Bahasa Hiragana atau Katakana yang lebih kepada keseronokan Anime atau Manga yang pada waktu yang sama belajar bahasa.
Selain daripada kursus-kursus belajar sendiri berkenaan, terdapat juga kursus tutor yang disokong untuk membantu tugasan, penilaian dan pengajaran secara langsung dengan guru-guru, tambahan lagi untuk menangani kebimbangan pembelajaran dalam talian yang boleh menjadi masalah.
e-Minato juga mempunyai komuniti dalam talian yang menawarkan peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar lain di seluruh dunia.
Sehubungan dengan itu, Yayasan Jepun juga akan menghantar seorang warga Jepun sebagai ‘Rakan Nihongo’ ke Institusi Pembelajaran Bahasa Jepun di Asia untuk memberi sokongan kepada pelajar dan guru Bahasa Jepun tempatan termasuk ke Negara Brunei Darussalam.
Naomi Hattori akan berada di Negara Brunei Darussalam pada 27 Februari 2017 sebagai guru budaya dan Bahasa Jepun. Beliau akan ditempatkan di Divisyen Pendidikan dan Latihan Berterusan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE-CET) dan akan memulakan kelasnya pada 1 Mac 2017 nanti.
Rie Arai Sukumoto juga berkata, IBTE-CET sedang giat menawarkan kursus pembelajaran Bahasa Jepun selama tiga bulan (36 jam) bagi peringkat permulaan dan peringkat pertengahan kepada pelajar 15 tahun ke atas.
Orang ramai yang berminat untuk mengikut kursus berkenaan akan dikenakan bayaran sebanyak $135 seorang untuk rakyat Brunei Darussalam dan $202.50 untuk bukan warganegara. Buat pada masa ini, kelas untuk kursus berkenaan telah pun penuh dan kursus selanjutnya akan dibukakan pada Julai dan September 2017.