Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kafe perkenal latte susu ibu

    RUSIA, 26 MEI – Sebuah kafe di bandar Perm, Rusia telah mendapat perhatian ramai selepas mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan latte yang mengandungi susu ibu yang kontroversi dalam menunya.

    Rangkaian kafe tersebut, Coffee Smile telah menjadi bualan internet Rusia sejak minggu lalu selepas mengumumkan hasrat untuk menggunakan susu ibu sebenar sebagai bahan untuk produk kopi seperti latte dan kapucino. Kegilaan itu bermula awal bulan ini, apabila lokasi Coffee Smile mula menampal poster yang mengiklankan bahan baharu yang kontroversi itu.

    Menurut laporan Oddity Central, orang ramai mula berkongsi foto gambar itu di media sosial, dan tidak lama kemudian, ahli perniagaan tempatan dan pemilik Coffee Smile, Maxim Kobelev mengeluarkan video promosi yang mendakwa kafenya akan menggunakan susu ibu tulen yang disimpan dalam beg gred farmasi khas.

    “Baru-baru ini saya mengambil cuti bersalin dan melihat susu ibu yang banyak diperlukan. Saya mempunyai susu yang banyak,” kata seorang ibu muda dan pembekal susu ibu untuk kafe itu dalam video tersebut.

    “Anak damit minum sedikit sahaja, jadi saya fikir, mengapa tidak mendapatkan wang tambahan? Saya seorang pendandan rambut, tetapi hanya memperoleh pendapatan sedikit. Saya juga membuat kopi dengan susu ibu untuk suami saya, dia menyukainya.”

    Kobelev juga memberi jaminan kepada bakal pelanggan bahawa ibu-ibu yang membekalkan susu ibu semuanya diuji untuk memastikan penggunaan produk yang selamat, sambil menambah hanya kira-kira 40-45 dos minuman yang dicampurkan susu ibu akan dihidangkan pada mulanya, dengan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran kepada kira-kira 1,000 produk menjelang akhir tahun. Harga satu minuman adalah 650 rubel (AS$8).

    Selepas video promosi itu menjadi tular di media sosial, orang ramai mula tertanya-tanya sama ada ia merupakan satu gurauan, dan mengapa Rospotrebnadzor, pihak berkuasa keselamatan makanan Rusia, tidak campur tangan. Beberapa orang menyatakan minat untuk mencuba kopi yang dicampurkan dengan susu ibu.

    “Bukankah sangat menjijikkan bagi seseorang untuk meminum susu ibu orang lain, apatah lagi wanita tidak dikenali?” soal seorang warganet. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...