Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaji selidik periksa faktor penyakit NCD dan pemakanan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menjalankan Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan (NHANSS) ke-3 yang akan bermula bulan ini.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, ia bertujuan untuk memastikan kelaziman dan trend penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) serta faktor-faktor risikonya dalam kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, khususnya faktor-faktor risiko yang berkaitan dengan pemakanan.

    “Kaji selidik ini mengandungi dua fasa yang mana fasa pertama akan bermula pada Oktober 2022 sehingga Januari 2023 dan akan memfokuskan kepada faktor-faktor risiko umum dalam kalangan orang dewasa yang berumur di antara 18 hingga 69 tahun,” jelas Yang Berhormat Dato semasa Si-dang Media Norma Baharu COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Sementara itu, fasa kedua yang akan dijalankan pada Februari hingga Mei 2023 akan menyasarkan isu-isu berkaitan dengan kesihatan kanak-kanak dan wanita mengandung.

    Bagi kedua-dua fasa berkenaan, jelas beliau, penyelidik terlatih akan mengunjungi rumah-rumah yang terpilih di keempat-empat daerah untuk menemu bual ahli keluarga terpilih dan menjalankan pemeriksaan tertentu.

    Fasa pertama akan melibatkan sebanyak 5,762 buah rumah manakala fasa kedua akan menyasarkan lebih kurang 3,000 buah rumah.

    Sehubungan itu, Yang Berhormat Menteri Kesi-hatan memohon orang ramai yang terpilih untuk memberikan kerjasama bagi menjayakan kaji selidik tersebut, yang diharap  akan dapat membantu kementerian menilai keberkesanan strategi-strategi dan program-program kesihatan yang disediakan di negara ini, khususnya dalam usaha pihak kerajaan mencegah kematian pramatang akibat NCD.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan perkembangan terkini jangkitan COVID di negara ini, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda