Terlalu bermurah hati memberi bantuan, usahawan Liana Rosli mendedahkan dia pernah menjadi mangsa penipuan pengikut di media sosial.
Bukan itu sahaja, Liana atau mesra disapa dengan panggilan Kak KM, turut memberitahu pernah dipukau sehingga mengalami kerugian sebanyak RM100,000.
“Kejadian itu berlaku selepas kes barangan emas saya dirompak sebelum ini. Ada orang datang rumah minta kata laluan akaun bank. Saya beri tanpa sedar. Hilang terus RM100,000.
“Orang juga selalu ambil kesempatan terhadap saya. Ada yang minta bantuan tetapi apabila saya beri sumbangan katanya tidak cukup.
“Saya mudah memberi bantuan tanpa selidik dahulu siapa pemilik sebenar akaun media sosial itu,” katanya kepada mStar.
Kak KM berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Biarpun banyak kali ditipu, usahawan itu tidak serik untuk terus membantu golongan yang memerlukan.
Malah dia kini dalam usaha membina 10 lot rumah yang akan disewa kepada golongan kurang berkemampuan.
“Rumah itu mungkin sesuai untuk mereka yang baru mula bekerja di Kuala Lumpur. Sekarang ini dalam proses pembinaan. Di masa akan datang saya rancang nak bina 10 lot rumah lagi.
“Saya pernah hidup susah dan tahu bagaimana perasaan orang yang melalui nasib sama, dengan cara sebegini saya dapat bantu ringankan beban mereka,” ujarnya.
Rumah tersebut dibina di daerah Gombak dan dijangka siap hujung tahun ini.
Biarpun niatnya ingin membantu, Kak KM tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. – Agensi
