Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kalam Semah’ artifak kuno simpan 1001 rahsia

    KANGAR – Penemuan kalam semah di Gua Berhala dan Gua Kurong Batang merupakan artifak kuno yang menyimpan 1001 rahsia menjadi bukti fizikal kewujudan penempatan protosejarah di negeri Perlis sekitar abad kesembilan Masihi.

    Pengarah Muzium Kota Kayang, Siti Munirah Kasim berkata kalam semah merupakan kepingan lonjong atau bulat tanah liat yang telah dikeringkan atau dibakar dan dicap dengan imej-imej agama Buddha.

    “Kepingan kalam semah ditemui di Perlis mengandungi mantera-mantera agama Buddha yang ditemukan oleh ahli arkeologi terkenal, Dr Alastair Lamb pada 1962 dan kandungan mantera telah diterjemah oleh Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nasha Rodziadi Khaw.

    “Istimewanya kalam semah itu merupakan satu-satunya kepingan yang masih dalam keadaan lengkap ditemui di negara ini berbanding kepingan kalam semah yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah dan di Gua Chawas, Kelantan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Katanya, kalam semah merupakan antara artifak terawal yang disimpan di Muzium Kota Kayang sejak ia dibuka kepada orang ramai pada 2000.

    Menurut Nasha kalam semah yang ditemui di Perlis tidak ditemui di tapak lain di Malaysia, iaitu teks menggunakan aksara Nagari serta berbahasa Sanskrit mengandungi teks agama Buddha yang dikenali sebagai ‘Bodhigarbhalankaralaksa Dharani’.

    Kalam Semah yang dijumpai di Gua Berhala dan Gua Kurung Batang merupakan artifak kuno yang menyimpan 1,001 satu rahsia, ditemui masih dalam keadaan lengkap di negara ini berbanding kepingan Kalam Semah yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah dan di Gua Chawas, Kelantan. – Gambar Bernama
    Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Arkelogi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Dr Nasha Rodziadi Khaw. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Katany,a teks tersebut berasal dari India yang turut ditemui di Pakistan, Afghanistan, Tibet (China) dan Pulau Jawa (Indonesia) mengandungi puji-pujian kepada Sang Buddha serta ‘Dewi Prajnaparamita’.

    “Fungsi dan kegunaan kalam semah kepada penganut Buddha pada zaman kuno sebagai persembahan bagi meningkatkan dharma mereka. Penganut akan meminta para bhiksu untuk menghasilkan kalam semah bagi pihak mereka dan menyimpannya di dalam stupa atau gua,” katanya.

    Nasha berkata dalam konteks perkembangan Kedah Tua, penemuan itu membuktikan bahawa ia serentak dengan perkembangan Lembah Bujang, iaitu Perlis turut berfungsi sebagai satu daripada penempatan perdagangan dan persinggahan para penganut serta mubaligh agama Buddha.

    Beliau berkata penemuan kalam semah juga menunjukkan bahawa Perlis memiliki sejarah yang amat panjang.

    “Ketika Kedah Tua berkembang dengan pusat pelabuhannya berpusat di Lembah Bujang, masyarakat awal di Perlis turut memiliki hubungan dengan pedagang asing pada ketika itu.

    Hal ini secara tidak langsung turut membuktikan kepentingan Perlis dari segi ekonomi dan lokasi geostrategik pada abad kesembilan Masihi,” katanya.

    Sementara itu, Exco Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berharap artifak kuno kalam semah mampu dijadikan sebagai satu daripada tarikan pengunjung ke Muzium Kota Kayang sempena TMP 2024-2025.

    “Artifak yang dijumpai di Perlis ini mempunyai keunikannya sendiri kerana ia menyimpan sejarah awal negeri Perlis yang dipercayai menjadi penempatan zaman protosejarah,” katanya.

    Beliau berkata masih ramai peminat artifak kuno masih belum mengetahui kewujudan kepingan kalam semah yang tersimpan di Muzium Kota Kayang sejak ia mula dibuka pada 2000.

    “Saya difahamkan bahawa kalam semah merupakan artifak kuno yang paling berharga dan berusia paling lama disimpan di sini,” katanya.

    Wan Badariah berharap lebih banyak lagi kajian dilakukan bagi merungkai rahsia khazanah kalam semah di alam Melayu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda