Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kambing lebih berkhasiat, baik untuk kesihatan

    Ramai yang beranggapan bahawa kambing sebenarnya mempunyai kolesterol yang tinggi dan memberi kesan risiko kepada darah tinggi dan penyakit jantung dan sebagainya, namun sebenarnya daging kambing mempunyai banyak khasiat daripada daging-daging lain.

    Melalui kajian yang dilakukan oleh para saintis membuktikan bahawa daging kambing baik untuk kesihatan. Kajian yang dijalankan Kumpulan penyelidik Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama atau Alabama Cooperative Extension System (ACES) menunjukkan daging kambing lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik berbanding daging lembu, biri-biri dan ayam.

    Untuk pengetahuan, kambing mengandungi paras kolesterol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik. Contohnya potongan daging seberat 85 gram hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding daging lembu yang mempunyai 7.9 gram lemak dan ayam 6.3 gram lemak.

    Dari segi kalori pula, kambing mempunyai 122 kalori, berbanding lembu 179 kalori, kambing muda 175 kalori dan ayam 162 kalori.

    Manakala kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi berbanding daging-daging jenis lain, ini adalah baik untuk pemakanan manusia memandangkan lemak tidak tepu membantu untuk merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.

    Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras kolesterol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif terbaik. Seperti yang diketahui, lemak tepu boleh mengakibatkan saluran darah tertutup, seterusnya mengganggu fungsi jantung serta berisiko mendapat penyakit jantung, darah tinggi dan strok.

    Kajian klinikal oleh Universiti Harvard mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, dan lemak tidak tepu yang terdapat pada daging kambing baik dari segi membantu membaiki paras kolesterol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi.

    Mereka turut mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolesterol tidak baik meningkat dalam darah. Manakala lemak tidak tepu boleh membantu mengurangkan keburukan itu dengan menaikkan paras kolesterol baik.

    Penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah, mengurangkan risiko arteriosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.

    Merawat kulit

    Vitamin B12 daripada daging kambing akan memberi lebih ketahanan terhadap kulit daripada bertindak balas terhadap protein yang terkena cahaya matahari. Ia juga membantu merawat  masalah seperti psoriasis, ekzema atau jerawat. Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun pembersih pelembap berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit.

    Khasiat susu kambing

    Susu kambing juga mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak yang lebih kecil dan mudah dihadamkan berbanding susu lembu dan baik untuk mengatasi masalah obesiti.

    Ia juga baik untuk merawat penyakit anemia kerana kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain sesuai dalam rawatan kencing manis.

    Cara memasak kambing

    Cara pertama dalam memasak kambing ialah menggunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat.

    Cara kedua pula adalah memasak daging di dalam kelembapan seperti diperap (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stu. – Agensi

    Daging masak kari

    Bahan-bahan

    1 kilogram daging kambing

    8 biji bawang merah

    3 biji bawang putih

    2 inci halia

    3 tangkai daun kari

    5 sudu makan serbuk kari

    5 biji ubi kentang, dipotong enam

    4 cawan santan

    2 sudu makan kerisik, digaul dengan air

    1 cawan air

    ½ cawan minyak masak

    Garam secukup rasa

    Cara menyediakan

    Potong kecil daging kambing, kemudian panaskan minyak kemudian tumiskan bahan yang ditumbuk kasar dan daun kari. Masakkan sehingga wangi dan agak garing.

    Masukkan serbuk kari. Masakkan sehingga pecah minyak. Selepas itu masukkan daging tadi dan kacau hingga rata.

    Selepas itu masukkan secawan air dan biarkan sehingga daging menjadi lembut.

    Selepas dibiarkan selama beberapa minit, masukkan ubi kentang, santan, kerisik, dan garam. Biarkan sehingga ubi kentang lembut. Biarkan masak sehingga menjadi pekat. Sedia dihidangkan.

    Stew kambing

    Bahan-bahan

    Bahan A

    ½ kilogram daging kambing

    1 inci halia, dipukul

    1 sudu makan lada hitam, dipukul

    1 inci kulit kayu manis

    3 kuntum bunga lawang

    3 biji buah pelaga

    5 kuntum bunga cengkih

    Air secukupnya

    Bahan B

    3 biji bawang merah, dihiris

    2 biji bawang putih, dihiris

    4 biji kentang, potong empat

    1 batang lobak merah di potong kecil

    2 biji bawang besar, di potong kecil

    2 sudu makan tepung jagung, campurkan dengan air dan gaul hingga sebati

    1 tangkai daun sup, di potong kecil

    2 sudu makan minyak masak

    Garam secukup rasa

    Cara menyediakan

    Masukkan semua bahan A tadi ke dalam periuk, kemudian masak sehingga mendidih dan biarkan sehingga daging menjadi lembut. Gunakan kuali lain, panaskan minyak kemudian tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga wangi. Ketepikan.

    Selepas itu masukkan ubi kentang, lobak merah, garam, bawang besar ke dalam periuk rebusan tadi. Masak lagi sehingga kentang dan lobak merah menjadi lembut.

    Masukkan bawang yang ditumis tadi. Selpas itu gaulkan semuanya sehingga rata. Kemudian letakkan lagi tepung jagung yang sudah dicampur dengan air dan gaul rata. Tunggu dalam lima minit, taburkan daun sup. Sedia dihidangkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda