Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kambing perap, daging proses berjaya dirampas

    Oleh Yusrin Junaidi

    TUTONG, 2 APRIL – Sebanyak 18 paket daging kambing perap dan daging berproses pelbagai jenama seberat 22.750 kilogram berjaya dirampas oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan dari Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pada 21 Mac lalu di Kampung Padnunok, Daerah Tutong.

    Kes telah diserahkan kepada pihak JKED untuk siasatan dan tindakan undang-undang mengenainya.

    Sehubungan dengan itu, KHEU mengingatkan orang ramai yang ingin membawa masuk daging mentah halal ke Negara Brunei Darussalam hendaklah mendapatkan permit import halal daripada Pengerusi Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal, di samping memenuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan oleh agensi-agensi lain berkaitan pengimportan daging halal.

    Perkara ini adalah mustahak dan perlu dipatuhi agar daging yang dibawa masuk dan dijual di negara ini khususnya kepada orang Islam adalah terjamin kehalalannya.

    Pihak KHEU ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas maklumat berhubung perkara tersebut dan bagi orang ramai yang ingin membuat pengaduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    Pihak BMKH, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

    Antara daging kambing perap yang berjaya dirampas oleh pegawai penguat kuasa di Kampung Padnunok, Daerah Tutong, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Ugama
    Kambing perap dan daging berproses diragui telah dirampas.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda