LONDON, 27 FEB – Pep Guardiola menegaskan Manchester City akan menjadi pasukan pencabar dalam Liga Perdana sekali lagi pada masa hadapan selepas Erling Haaland memastikan kemenangan 1-0 di Tottenham kelmarin.
Penyudah klinikal Haaland pada minit ke-12 menguatkan usaha City untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan apabila mereka naik ke tempat keempat.
Berjuang untuk menamatkan saingan di empat teratas adalah kekecewaan yang besar buat City selepas mereka menjuarai Liga Perdana empat kali terakhir dan menjadikannya enam kali sepanjang kendalian Guardiola dalam tujuh musim.
Dengan penyingkiran City dari Liga Juara-Juara oleh Real Madrid, Guardiola hanya mempunyai Piala FA sahaja lagi sebagai peluang meraih trofi musim ini.
Tetapi dalam jangka masa yang lebih panjang, Guardiola tetap yakin City boleh pulih dan kembali gemilang walaupun pasukan semakin tua dalam beberapa posisi dan kurang pengalaman Liga Perdana di tempat lain.
“Perlawanan tadi agak terbuka pada separuh masa kedua kerana kami tidak menutup ruang pada babak pertama. Di stadium ini selalu mereka mempunyai 20 hingga 25 minit dan separuh masa kedua kami mengalami kesukaran.
“Ia berlaku berkali-kali musim ini yang kami bolos jumlah gol yang sukar dipercayai dan banyak perlawanan terdahulu kami mendahului tetapi tewas. Banyak kali ia berlaku dan hari ini mujurlah ia berakhir dengan baik.”
Sementara bos Tottenham, Ange Postecoglou mendakwa pasukannya terlalu bersemangat sehingga mencederakan diri semasa separuh masa pertama yang dikuasai lawan.
“Saya yakin pada separuh masa kedua kami menguasai permainan dan kawasan. Kami banyak menyerang. Selalu menguasai bola dan lebih tenang tetapi disebabkan telah bolos satu gol, kami akhirnya gagal,” ujar Postecoglou. – AFP
