VANCOUVER, 2 JULAI – Puluhan kebakaran meletus di seluruh kawasan barat Kanada dan California hari ini tanpa kelegaan dijangka daripada gelombang haba teruk yang telah melihat suhu mencecah rekod tinggi.
Kira-kira 1,000 orang telah dipindah di wilayah British Columbia di Kanada semalam apabila kebakaran hutan membakar 90 peratus daripada sebuah bandar kecil yang telah mencatat suhu amat tinggi selama tiga hari berturut-turut.
Pakar berkata gelombang haba dicetuskan oleh krisis perubahan iklim global dan telah mengakibatkan ratusan kematian di Kanada dan Amerika Syarikat.
Bandar Lytton, 250 kilometer dari timur laut Vancouver, ‘mengalami kerosakan struktural dan 90 peratus daripada kampung hangus terbakar, termasuk pusat bandar,” kata penduduk tempatan Brad Vis. Notis pemindahan dikeluarkan kepada sebahagian besar daerah California di mana api besar telah menjilat hampir 20,000 ekar dengan kurang 20 peratus dipadamkan hari ini, lapor pihak berkuasa tempatan.
Kebakaran telah berlarutan selama seminggu akibat kilat, kata perkhidmatan bomba kerajaan.
Gambar menunjukkan bukit dan hutan terbakar dan langit dipenuhi asap ketika anggota bomba bergegas untuk memadamkan api. Puluhan kebakaran lain juga dilaporkan di seluruh California, yang dilanda kebakaran hutan paling teruk dalam sejarahnya tahun lalu. British Columbia telah mencatat 62 kebakaran baharu sejak 24 jam lalu, beritahu perdana menteri John Horgan pada sidang media. – AFP
