Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak Gaza alami trauma, keciciran pendidikan

    SEMENANJUNG GAZA – Lapan daripada 10 sekolah di Gaza rosak atau musnah, menurut UNICEF, tetapi yang benar-benar membimbangkan pakar adalah kesan psikologi dialami hampir 1.2 juta kanak-kanak di wilayah itu akibat perang.

    “Bagi membolehkan pembelajaran dilakukan, awda perlu berada di ruang yang selamat. Kebanyakan kanak-kanak di Gaza pada masa ini mempunyai otak yang berfungsi di bawah trauma,” beritahu pakar psikiatri kanak-kanak, Audrey McMahon dari Doctors Without Borders kepada AFP.

    Kanak-kanak yang lebih muda mungkin mengalami kecacatan kognitif sepanjang hayat akibat kekurangan zat makanan, manakala remaja cenderung berasa marah terhadap ketidakadilan yang dialami mereka, katanya.

    “Cabaran yang perlu dihadapi mereka adalah sangat besar dan akan mengambil masa yang lama untuk sembuh.”

    David Skinner dari Save The Children berkata membina semula ‘sekolah adalah sangat rumit… tetapi ia lebih mudah berbanding keciciran pendidikan’.

    Kanak-kanak menghadiri kelas di bilik darjah sementara di kem untuk pelarian Palestin di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 27 Mac. – AFP
    Pemandangan dari udara menunjukkan pelarian Palestin di luar khemah di kem sementara bagi pelarian di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 27 Mac. – AFP

    “Apa yang sering dilupakan tentang liputan mengenai Gaza ialah bahawa ia merupakan malapetaka untuk kanak-kanak.

    “Ini adalah kanak-kanak yang telah kehilangan orang yang tersayang, yang sakit dan kekurangan zat makanan,” katanya.

    KEROSAKAN KOGNITIF

    Kanak-kanak kecil yang otaknya masih berkembang sangat berisiko mengalami masalah kesihatan mental dan kerosakan kognitif, kata Skinner.

    Agensi kebajikan kanak-kanak PBB menganggarkan 620,000 kanak-kanak di Gaza tidak bersekolah.

    Skinner berkata membawa mereka kembali ke dalam kelas dan membina semula sekolah mereka hanyalah langkah pertama.

    Cabaran sebenar adalah menyembuhkan golongan muda Gaza yang terusir dan trauma agar mereka dapat belajar semula.

    Apabila perang meletus, sekolah serta-merta menghentikan kelas dan majoriti daripadanya telah dijadikan tempat perlindungan bagi keluarga yang melarikan diri daripada serangan udara.

    Hampir separuh daripada penduduk wilayah Palestin berusia di bawah 18 tahun, dan sistem pendidikannya sudah bergelut selepas mengalami lima peperangan dalam tempoh 20 tahun.

    KEMUSNAHAN

    Setakat 5 April, dalam peperangan ini, sekurang-kurangnya 53 daripada 563 bangunan sekolah di Gaza telah musnah, menurut UNICEF.

    Lebih lapan daripada 10 sekolah telah rosak dan 67 peratus daripadanya menerima serangan langsung, menurut laporan oleh agensi bantuan termasuk UNICEF berdasarkan imej satelit dan laporan di lapangan.

    “Situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Juliette Touma dari agensi pelarian Palestin PBB, UNRWA, yang membantu mendidik 300,000 kanak-kanak Gaza.

    “Rakan sekerja yang paling lama berada di sini mungkin hanya ingat sebuah sekolah yang terkena dalam konflik sebelum ini,” katanya.

    Majd Halawa tidak perlu menunggu bom untuk memusnahkan sekolahnya di Bandar Gaza untuk menyedari bahawa impiannya menjadi seorang peguam terpaksa ditangguhkan.

    Dua minggu selepas perang bermula, tentera Israel memberikan beliau dan keluarganya tiga minit untuk meninggalkan blok pangsapuri mereka di utara Gaza.

    “Saya meninggalkan semua buku saya, memikirkan ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk kembali, tetapi ia tidak berlaku,” kata remaja berusia 16 tahun itu kepada AFP.

    Rumah mereka musnah sepenuhnya oleh serangan udara.

    Sekolah-sekolah sementara telah didirikan dalam khemah di bandar selatan Rafah, di mana separuh daripada penduduk wilayah itu telah melarikan diri.

    Dalam satu khemah, Hiba Halaweh mengajar 30 kanak-kanak untuk belajar membaca perkataan pertama mereka. “Kanak-kanak gembira dapat kembali ke dalam proses pembelajaran,” kata guru itu, yang tidak mempunyai ‘buku teks dan pen’.

    Kementerian Pendidikan yang dikendalikan Hamas merancang membina 25,000 sekolah sementara. Di tempat lain di dunia, ramai kanak-kanak yang telah melalui peperangan tidak pernah kembali ke sekolah.

    Di Iraq, enam tahun selepas kerajaan mengisytiharkan kemenangan ke atas kumpulan Islamic State, puluhan ribu orang masih tidak bersekolah. Ribuan bangunan sekolah yang musnah masih belum dibina semula, menurut Bank Dunia.

    Namun bagi Majd, yang keluarganya berjaya membawanya ke Kanada, ini bukan hanya tentang memiliki sekolah untuk kembali.

    “Tiada siapa yang boleh melupakan semua kenangan tentang apa yang berlaku, bukan dalam 100 tahun.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda