WASHINGTON, 1 APRIL – Kapten kapal pengangkut Amerika Syarikat (AS), USS Theodore Roosevelt memberitahu Pentagon, jangkitan COVID-19 yang tersebar di atas kapal itu tidak mampu dikawal dan menggesa bantuan bagi mengkuarantin anak kapalnya.
Bagaimanapun, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper, semalam mengetepikan cadangan untuk mengosongkan kapal itu seperti yang dilakukan ke atas kapal persiaran yang sebelum ini menyebarkan wabak COVID-19.
Kapten kapal berkenaan, Brett Crozier, berkata mereka memaklumkan tidak mampu untuk membendung penularan wabak COVID-19 di atas kapal yang menempatkan 4,000 anak kapal.
Beliau turut menggambarkan keadaan mereka ketika ini amat kritikal dan kini sedang berlabuh di wilayah AS, di Guam.
“Kami bukan berada dalam situasi peperangan. Jadi, anak kapal tidak sepatutnya mati.
“Penularan wabak ini terus berlaku dan semakin meningkat,” tulis Crozier, dan surat itu diterbitkan media San Francisco Chronicle semalam.
Beliau meminta kesemua anak kapal dikuarantin di Guam, berkata menempatkan mereka di dalam kapal merupakan ‘risiko yang tidak wajar.’ – AFP