FILIPINA, 21 OGOS – Kapal perang terbesar Australia telah mengambil bahagian dalam latihan bersama dengan Filipina dan Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan hari ini, ketika mereka berusaha untuk memperkukuhkan ikatan pertahanan ekoran kehadiran ketenteraan China yang semakin meningkat.
China mengerahkan ratusan kapal pengawal pantai, tentera laut dan kapal lain untuk meronda di perairan yang dipertikaikan itu.
HMAS Canberra adalah salah satu dari beberapa kapal yang terlibat dalam Latihan Alon di Filipina, yang diadakan untuk kali pertama sebagai sebahagian daripada aktiviti Endeavour Indo-Pasifik tahunan Australia. Alon bermaksud ‘ombak’ dalam bahasa Tagalog.
Lebih 2,000 anggota tentera dari Australia dan Filipina menyertai latihan udara, laut dan darat dari 14 hingga 31 Ogos. Kira-kira 150 Marin AS juga terlibat.
Serangan udara yang disimulasikan hari ini di selatan pulau Palawan, Filipina, berlaku kira-kira 200km dari Kepulauan Spratly, di mana ketegangan yang berpanjangan antara Manila dan Beijing telah meningkat.
“Hampir sama seperti Filipina, Australia juga mahukan rantau yang aman, stabil dan sejahtera yang menghormati kedaulatan dan dipandu oleh peraturan berdasarkan undang-undang,” kata Hae Kyong Yu, duta Australia di Manila, di Lapangan Terbang Tarumpitao Point.
Latihan-latihan seperti ini adalah ‘penting’ kerana ‘menerusinya, kami mengubah kata-kata kami kepada tindakan,” katanya.
AS, Jepun dan Australia juga akan mengadakan latihan marin bersama di luar Filipina pada minggu ini.
“Ini sudah menjadi rancangan sejak dulu,” kata Kapten Phillipa Hay, pemerintah Pasukan Tugas Amfibia Australia, kepada wartawan di atas kapal HMAS Canberra.
“Kapal-kapal itu datang dari Latihan Talisman Sabre (di Australia) dan semua dalam perjalanan pulang. Ia sangat normal bagi kami untuk berlatih bersama rakan-rakan apabila kami pergi dan kembali daripada latihan.”
Latihan-latihan ini muncul selepas misi bekalan Filipina ke Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly disekat oleh kapal Pengawal Pantai China yang menggunakan meriam air pada 5 Ogos, mencetuskan pertikaian diplomatik dan kemarahan antarabangsa. – AFP