Saturday, March 22, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapten England, Harry Kane rasa diremehkan oleh penyokong

    LONDON, 21 MAC – Kapten England, Harry Kane, percaya bahawa dirinya kini dianggap remeh oleh penyokong yang sudah ‘bosan’ dengan rekod jaringan golnya bersama skuad kebangsaan. 

    Penyerang berusia 31 tahun itu merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah England dengan 69 gol daripada 103 penampilan. Dia kini berpeluang menambah koleksi jaringannya apabila The Three Lions memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Albania di Wembley hari ini, dalam perlawanan pertama di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Thomas Tuchel. 

    Kane juga telah menjaringkan 76 gol dalam hanya 82 perlawanan untuk kelab gergasi Jerman, Bayern Munich. 

    Bekas bintang Tottenham itu berkata bahawa jika dia masih seorang pemain muda, penyokong mungkin masih ‘teruja’ dengan rekod jaringannya, tetapi kini mereka sudah terlalu terbiasa dengan kemampuannya menjaringkan gol sehingga keterujaan itu semakin pudar. 

    “Ia seperti ketika Ronaldo dan Messi mencipta angka jaringan yang luar biasa setiap musim. Kemudian, apabila mereka menjaringkan 40 gol berbanding 50, ia dianggap sebagai musim yang kurang baik,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan. 

    “Orang ramai mengambilnya sebagai perkara biasa, mungkin begitu juga dengan England. Saya sudah menjaringkan 69 gol dan apabila saya menjaringkan gol menentang Albania atau Latvia, orang hanya menganggap itu perkara biasa, jadi tidak banyak diperkatakan. 

    “Jika saya berusia 25 tahun sekarang dan melakukan apa yang saya lakukan, keterujaan terhadap saya mungkin akan berbeza daripada apa yang berlaku sekarang.” 

    Dia menambah, “Itulah realiti dalam bola sepak. Saya telah melihat perkara yang sama berlaku kepada pemain lain apabila mereka memasuki usia 30-an. 

    “Mungkin orang ramai mula bosan dengan apa yang anda lakukan, tetapi saya sama sekali tidak bosan. Saya masih teruja untuk perlawanan ini dan perlawanan-perlawanan yang akan datang.” 

    Namun, meskipun dengan jumlah jaringan yang mengagumkan, Kane masih belum berjaya menamatkan penantian hampir 60 tahun England untuk menjulang trofi utama sejak kemenangan Piala Dunia 1966 di Wembley. 

    Bagaimanapun, usahanya bersama Bayern Munich telah membantu kelab itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan berada di ambang kejuaraan Bundesliga, sekali gus membuka peluang kepada Kane untuk dicalonkan dalam anugerah Ballon d’Or – penghargaan tahunan bagi pemain bola sepak terbaik dunia. 

    “Berada di kelab seperti Bayern Munich telah membantu saya berkembang, dari segi keyakinan dan tanggungjawab,” katanya. 

    “Saya rasa saya semakin baik, semakin meningkat, dan mungkin ‘aura’ saya sebagai pemain kini lebih dihormati berbanding sebelum ini kerana saya bermain dalam perlawanan besar dan malam-malam penting. 

    “Saya merasakannya musim lalu juga, apabila saya menjaringkan lebih 40 gol, tetapi sudah tentu saya tidak akan memenangi Ballon d’Or kerana kami tidak memenangi kejuaraan sebagai pasukan…Untuk menang anugerah itu, anda perlu cukup banyak memenangi kejuaraan pasukan dan menjaringkan lebih 40 gol. 

    “Itulah sesuatu yang saya ingin cuba capai musim ini.” – AFP

    Harry Kane memberi reaksi semasa perlawanan bola sepak Bundesliga divisyen pertama Jerman antara Union Berlin dan Bayern Munich di Berlin, Jerman pada 15 Mac 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda