ROM, 7 MEI – Proses pemilihan Paus baharu bermula di Vatican pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Seramai 133 kardinal dijadual berkumpul di Gereja Kecil Sistine bagi memilih pengganti Paus Francis, dua minggu selepas pemergian pemimpin gereja Katolik itu.
Pengundian pertama dijadualkan pada sebelah petang, namun keputusan pantas dianggap tidak mungkin dicapai.
Majoriti dua pertiga diperlukan untuk melantik Paus ke-267 Gereja Roman Katolik, yang kini mempunyai lebih 1.4 bilion penganut di seluruh dunia.
Sidang sulit itu akan berlangsung dalam pengasingan ketat daripada dunia luar.
Para kardinal dikehendaki menyerahkan telefon bimbit, telefon pintar dan semua peranti digital yang lain dan hanya kardinal berumur bawah 80 tahun layak mengundi.
Ketika ini, media menjangkakan Pietro Parolin, yang juga sebelum ini pemimpin nombor dua Gereja Katolik sebagai calon utama.
Dalam tradisi sebelum ini, asap akan kelihatan dari cerobong Gereja Kecil Sistine pada petang Rabu selepas pusingan pertama pengundian.
Asap hitam menandakan tiada keputusan, manakala asap putih menandakan seorang Paus baharu telah dipilih.
Sejak 1960an, sidang sulit biasanya berlangsung antara dua hingga tiga hari.
Paus Francis meninggal dunia pada 21 April lalu pada usia 88 tahun. – Bernama
