Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karnival ketengah produk tempatan

    Oleh Salawati Haji Yahya, Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan sedang menganjurkan Karnival Kenali Negara Kitani bermula hari ini hingga 27 November di Pusat Insani, Seria.

    Karnival tersebut disertai oleh 25 agensi dan syarikat menyertai Karnival Kenali Negara Kitani yang mana 14 daripadanya terdiri daripada agensi-agensi pelancongan, hotel dan penyedia-penyedia perkhidmatan pelancongan dan 11 syarikat di bawah Darussalam Enterprise (DARe).

    Sementara itu, menurut Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP, Awang Muhammad Nazmi bin Mahali semasa ditemui mengongsikan sebelum ini karnival diadakan di Times Square dan disertai oleh 10 buah agensi-agensi pelancongan, perhotelan dan perkhidmatan pelancongan dan kali ini pihak jabatan meneruskan aktiviti tersebut di Seria.

    Karnival itu merupakan persediaan bagi penggal cuti persekolahan bulan Disember.

    Pelbagai aktiviti menarik juga diadakan untuk orang ramai dan pengunjung antaranya permainan interaktif seperti charades, mix & match, carnival games, kuiz dan aktiviti mewarna.

    Seorang kanak-kanak menyertai salah satu aktiviti semasa Karnival Kenali Negara Kitani yang diadakan di Pusat Insani, Seria. – Gambar serahan Makmal Tenaga Seria
    Antara pengunjung yang berkesempatan mengunjungi karnival tersebut.
    Awang Muhammad Nazmi semasa ditemui pada karnival tersebut.

    Selain itu, Makmal Tenaga Seria menawarkan aktiviti-aktiviti menghiburkan yang sesuai untuk semua peringkat umur, iaitu CircuitFantastic, Cloudoh, Tinkercraft dan Monsterslime.

    Aktiviti-aktiviti ini terdiri daripada litar asas dan pemprograman, motor dan aktiviti pembinaan kemahiran kreativiti, di samping aktiviti mengukir dan bermain-main.

    Karnival itu juga akan membantu mempromosikan produk tempatan khususnya syarikat mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyediakan pelbagai produk-produk tempatan seperti makanan, minuman, fesyen, barang kosmetik dan kraf tangan.

    Di samping untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk tempatan mengenai produk-produk pelancongan yang terdapat di negara ini.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke Karnival Kenali Negara Kitani sehingga hujung minggu untuk menempah pakej-pakej istimewa sempena musim cuti persekolahan ini seterusnya menyokong industri pelancongan dan juga kepada pengusaha syarikat mikro, kecil dan sederhana.

    Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang bruneitourism.com/knk atau Instagram @info.bruneitourism.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda