Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Karnival meriahkan Kg Bukit Sawat

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 14 OGOS – Kawasan sekitar Kampung Bukit Sawat terutamanya Taman Rekreasi Sungai Mau meriah dengan pelbagai aktiviti dan persembahan yang diadakan sepanjang tiga hari Karnival Bukit Sawat.

    Diadakan bermula 12 Ogos lalu, karnival berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Sawat dengan sokongan daripada Jabatan Daerah Belait sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76.

    Sepanjang acara tiga hari dan dua malam itu, pelbagai acara telah diadakan termasuk masakan langsung dan pertandingan mewarna, hingga persembahan-persembahan merangkumi Mukun dan tarian tradisi.

    Gerai-gerai jualan turut diadakan oleh perniagaan-perniagaan tempatan yang menjual pelbagai makanan, minuman dan produk-produk.

    Hadir menutup karnival berkenaan pagi tadi ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohd Yassin bin Haji Ahmed serta penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari kawasan sekitar.

    Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah dalam ucapan ringkasnya berkata, karnival berkenaan merupakan yang kelapan dianjurkan oleh MPK Bukit Sawat.

    Menurutnya, karnival berkenaan bertujuan untuk memeriahkan lagi perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76, di samping menyediakan peluang bagi penduduk sekitar untuk menyertai sambutan perayaan besar-besaran di kawasan kampung di Daerah Belait.

    Tetamu kehormat melawat petak dan gerai jualan.
    Salah satu persembahan yang diadakan semasa majlis yang diadakan pagi kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...