Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kasut emas milik siapa?

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Piala Dunia FIFA 2022 kini sudah hampir menuju ke penghujungnya dengan berbaki lapan perlawanan sahaja lagi iaitu empat perlawanan suku akhir, dua perlawanan separuh akhir, satu perlawanan penentuan tempat ketiga dan satu lagi perlawanan akhir bagi menentukan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai pasukan yang memenangi Piala Dunia kali ini.

    Setelah menyaksikan perlawanan-perlawanan di peringkat kumpulan dan pusingan 16 terakhir, dapat disoroti beberapa orang pemain yang mencuri perhatian dunia dan menyerlah pada kejohanan kali ini.

    Kylian Mbappe sudah semestinya tersenarai sebagai salah seorang pemain yang mempamerkan aksi yang cukup baik pada kejohanan kali ini dengan berjaya mencetak beberapa jaringan berharga bagi membantu Perancis mara sehingga ke perlawanan suku akhir.

    Pemain sensasi berusia 23 tahun tersebut setakat ini merupakan penjaring terbanyak dengan jaringan lima gol yang mana dua daripadanya terhasil semasa perlawanan menentang Poland di pusingan 16 terakhir.

    Sama ada Mbappe mampu untuk terus menjaringkan lebih banyak gol semasa menentang pasukan England pada perlawanan di peringkat suku akhir nanti atau akan terhenti setakat itu sahaja bakal dapat diketahui tidak lama lagi.

    Antara pemain yang menjaringkan banyak gol dalam Piala Dunia 2022. – AP

    Pemain berpengalaman dari Argentina, Lionel Messi yang berusia 35 tahun juga dilihat masih berbisa yang mana dikatakan bahawa Piala Dunia kali ini merupakan kejohanan terakhirnya.

    Tidak hairanlah ketua pasukan Argentina itu begitu bersemangat untuk menjulang Piala Dunia pertamanya seperti yang pernah diraih oleh legenda Argentina, Diego Maradona.

    Pemenang Ballon d’Or tujuh kali berkenaan juga telah berjaya menjaringkan sebanyak tiga gol setakat ini di mana dua gol diperoleh semasa aksi menentang Arab Saudi dan Mexico di peringkat kumpulan manakala satu gol lagi diperoleh semasa berdepan Australia di pusingan 16 terakhir.

    Persoalannya, mampukah Messi mengatasi barisan pemain lain untuk mendapatkan kasut emas pada Piala Dunia kali ini dan membawa Argentina merangkul trofi buat kali ketiga dalam sejarah?

    Bintang Tottenham Hotspur, Richarlison dari Brazil juga merupakan seorang pemain yang cukup baik pada kejohanan kali ini tambahan lagi dengan sokongan daripada rakan sepasukan yang beraksi dengan begitu meyakinkan sekali.

    Dua gol yang dicetaknya adalah hasil daripada perlawanan menentang pasukan Serbia pada perlawanan di peringkat kumpulan manakala satu lagi dijaringkannya semasa menentang pasukan Korea Selatan pada pusingan 16 terakhir yang lalu.

    Aksi lincah di dalam petak penalti membuatkannya seorang pemain yang digeruni pihak lawan memandangkan pergerakannya yang sukar untuk dijangka selain kemampuan mencetak jaringan dalam situasi yang cukup pantas dan tepat.

    Selain tiga nama tersebut, Goncalo Ramos dari Portugal juga seorang pemain yang harus diperhatikan, kerana beliau yang baru sahaja pertama kali tersenarai dalam kesebelasan pertama Portugal pada perlawanan menentang Switzerland di pusingan 16 terakhir itu telah berjaya menja-ringkan gol hatrik pertamanya.

    Tidak hairanlah jika jurulatih Portugal, Fernando Santos akan sekali lagi menggunakan taktik yang sama untuk menurunkan pemain penyerang muda tersebut dalam aksi menentang Maghribi di peringkat suku akhir nanti bagi menggantikan posisi pemain sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo.

    Selain nama-nama di atas, Olivier Giroud, Enner Valencia, Cody Gakpo, Alvaro Morata, Bukayo Saka dan Marcus Rashford juga telah berjaya menjaringkan sebanyak tiga gol di sepanjang kejohanan Piala Dunia 2022 berlangsung.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...