Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kayuhan basikal klasik bangkit nostalgia kemerdekaan

    BUTTERWORTH – Bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan menghayati erti kemerdekaan, sekumpulan penduduk mengayuh basikal klasik sejauh hampir 10 kilometer di sekitar Sungai Dua di sini.

    Malah, kumpulan lebih 30 individu itu turut mengenakan busana Melayu lama dan basikal juga dihiasi dengan Jalur Gemilang seakan-akan mengimbau kenangan lepas.

    Penganjur program Semarakkan Merdeka Ahmad Fauzi Ismail, 62, yang memiliki lebih 40 basikal klasik yang dibeli sejak 1990an dan kesemuanya masih boleh ditunggang dengan baik berkata beliau menganjurkan kayuhan itu untuk membangkitkan nostalgia kemerdekaan dan menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan orang ramai.

    Katanya, mereka yang menyertai kayuhan itu terdiri daripada penduduk sekitar dan paling jauh dari Bayan Lepas serta Balik Pulau, dekat sini yang turut membawa basikal klasik mereka untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 tahun ini.

    “Program kita anjurkan ini sebenarnya untuk bangkitkan rasa nostalgia kemerdekaan dalam kalangan orang ramai terutama anak-anak muda, sebab itu kita pilih untuk kayuh di kawasan-kawasan kampung dan taman untuk mereka (anak muda) lihat sendiri kibaran Jalur Gemilang supaya dapat semarakkan semangat patriotisme.

    “Sebenarnya boleh dikatakan tiap-tiap tahun pada bulan Ogos, saya anjurkan program kayuhan dengan basikal klasik ini cuma kali ini sangat meriah kerana lebih 30 orang bersama-sama, malah ada dalam kalangan mereka berpakaian busana Melayu lama,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Ahmad Fauzi yang merupakan bekas pekerja kilang itu berkata koleksi basikal klasiknya dikeluarkan pada 1940an dan 1960an yang kebanyakannya berjenama Hercules dan Raleigh buatan England, dan pada program itu beliau turut menyediakan kenderaan beroda dua itu kepada mereka yang ingin menyertai kayuhan tetapi tidak mempunyai basikal. – Bernama

    Sekumpulan penduduk mengayuh basikal klasik di sekitar Sungai Dua sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 ketika Bernama baru-baru ini. – Gambar Bernama
    Penganjur Program Semarakkan Merdeka, Ahmad Fauzi Ismail (depan) bersama penduduk setempat mengayuh basikal klasik di sekitar kawasan sawah padi. – Gambar Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda