Pelakon veteran, Kazar Saisi terkena tempias kontroversi pernikahan anaknya, Ira Kazar dan Syamsul Yusof di Thailand.
Semuanya gara-gara babak lakonan Kazar dalam musim kedua drama bersiri popular 7 Hari Mencintaiku yang disiarkan TV3, seolah-olah menjadi realiti.
Video lakonan Kazar yang dimuat naik portal Drama Sangat di Facebook (FB), semalam, tular dan meraih lebih 312,000 tontonan.
Menerusi video terbabit, Kazar yang membawa watak Pak Samad dipaparkan memberi nasihat mengenai perkahwinan kepada Adam lakonan, Sean Lee.
“Mana ada isteri bahagia bila suami kahwin lain,” salah satu dialog yang ada dalam drama yang sensasi tersebut.

Semakan di ruang komen mendapati warganet mengakui dialog dilafazkan sama seperti situasi membabitkan Kazar, Ira dan menantunya Syamsul sekarang.
Tidak hairanlah, perkongsian itu menerima lebih 1,200 komen, 7,000 tanda reaksi dan hampir 2,000 perkongsian.
Semalam, Syamsul telah meleraikan spekulasi apabila memuat naik video dalam Instagram miliknya yang mengesahkan sudah berkahwin dua dengan wanita pilihannya, Ira di Thailand.
Majlis akad nikah berkenaan berwalikan Kazar.
Pada masa sama, Puteri Sarah Liyana dilaporkan enggan memberi jawapan ketika ditanya berhubung kerelaan dirinya dimadukan. – Agensi