Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 FEB – Acara hujung minggu yang dinanti-nantikan di Daerah Belait, KBku Ceria kembali semula diadakan selama dua hari, kelmarin dan hari ini.
Diadakan di sepanjang Jalan Sungai, Kuala Belait, KBku Ceria merupakan aktiviti bulanan anjuran Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, di mana jalan berkenaan ditutup untuk lalu lintas kenderaan bagi membolehkan penduduk dan pengunjung menggunakan
ruang tersebut sepenuhnya.
Ini termasuk pelbagai aktiviti malam yang diadakan malam tadi di mana pengunjung dapat mengambil bahagian dalam Fun Night Walk sejauh 4km, serta mengunjungi pelbagai gerai jualan oleh perniagaan dan usahawan tempatan yang terdapat di sepanjang jalan serta di premis tempat letak kereta yang terletak di taman berdekatan.
Aktiviti-aktiviti berkenaan telah diadakan pada pagi tadi, dengan salah satu aktiviti utama ialah Santai Ride sejauh 18km yang melibatkan penunggang basikal dari seluruh daerah dengan merentasi pekan Kuala Belait walaupun hujan pada sebelah pagi.
Antara yang menyertai Santai Ride itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad yang telah menerima cenderahati daripada Kumpulan Oil Town Cyclist yang membantu penganjuran acara berbasikal tersebut.
Aktiviti lain yang diadakan selepas hujan reda termasuk aktiviti jualan jalanan, kafe, jualan but kereta, pameran basikal klasik, pameran kereta lama, pameran reptilia dan banyak lagi.
Dengan KBku Ceria itu, yang julung kali diadakan tahun ini, pihak lembaga bandaran bercadang menjadikan KBku Ceria sebagai tarikan utama yang dinanti-nantikan penduduk setiap bulan, dengan program seterusnya akan diadakan selepas bulan Ramadan.