Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KBRI teroka peluang kerjasama industri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Wakil Kedutaan Republik Indonesia (KBRI) ke Negara Brunei Darussalam, Dr Irwan Iding kelmarin mengadakan lawatan ke premis Brunei Fertilizer Industries (BFI) di Sungai Liang Industrial Park, Kuala Belait.

    Ketibaan beliau dan rombongan dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Mohammad S. Baderkhan yang turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai struktur syarikat, warga kerja BFI yang sebahagiannya berasal dari Indonesia serta sejarah penubuhannya.

    Pada taklimat itu, beliau menghargai respons dan kunjungan Dr Irwan Iding dan mengalu-alukan kerjasama dalam industri pembekalan baja dengan perusahaan di Indonesia.

    Dalam pada itu, Dr Irwan pada pertemuan itu turut menekankan mengenai kerjasama syarikat-syarikat industri dari Indonesia dalam bidang peralatan maritim dan penyewaan kapal angkut untuk kegunaan industri baja di Brunei.

    Menurutnya, industri itu berkaitan dengan BFI terutama dalam pengangkutan bahan mentah yang dihasilkannya. Sehubungan itu, beliau berharap BFI melalui KBRI dapat meneroka kerjasama dalam bidang-bidang yang dicadangkan untuk keperluan mereka pada masa hadapan.

    Berdasarkan maklumat yang diterima daripada BFI, pandemik COVID-19 telah pun menangguhkan sejumlah peralatan yang ditempah dari berbagai negara dan Dr Irwan berharap perusahaan Indonesia dapat mengisi peluang itu.

    Menurutnya, KBRI di Brunei Darussalam akan mengambil tindakan susulan daripada kunjungan dan perkongsian maklumat dengan BFI itu dan menjadi perantara bagi menerokai peluang kerjasama dengan syarikat-syarikat di negara ini dan di Indonesia.

    Dr Irwan Iding dan Mohammad S. Baderkhan bergambar ramai semasa lawatan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda