Sunday, February 9, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDB AS-SIDDIQ ditauliahkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Upacara Pentauliahan Kapal Peronda Kapal Diraja Brunei (KDB) AS-SIDDIQ di Jeti Bravo, Pangkalan Tentera Laut Muara.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Jeti Bravo dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen.

    Turut menjunjung sama ialah pelbagai peringkat kepimpinan Kementerian Pertahanan Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pertahanan Republik Singapura, dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura (ABRS) iaitu Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemerintah ABRS, Leftenan Jeneral Dato Paduka Seri Melvyn Ong Su Kiat; Pemerintah Tentera Laut Republik Singapura (TLRS), Laksamana Muda Sean Wat Jianwen; serta Pemangku Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin.

    Upacara bermula dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang merangkumi 110 anggota TLDB yang diketuai Leftenan Komander Ahmad Afifi bin Awang Antin.

    Upacara diteruskan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Dais Pentauliahan di mana Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima sembah penerangan mengenai Kapal Peronda KDB AS-SIDDIQ di Jeti Bravo, Pangkalan Tentera Laut Muara. – Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pentauliahan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang merangkumi 110 anggota TLDB ketika Upacara Pentauliahan Kapal Peronda Kapal Diraja Brunei AS-SIDDIQ di Jeti Bravo, Pangkalan Tentera Laut Muara, kelmarin.
    Baginda Sultan ketika berkenan menaiki KDB AS-SIDDIQ.
    Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari.
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai dengan berlatar belakangkan KDB AS-SIDDIQ.

    Baginda Sultan kemudian berkenan mengurniakan titah pentauliahan dan mengurniakan Commissioning Pennant kepada KDB AS-SIDDIQ yang diterima oleh Pegawai Pemerintah KDB AS-SIDDIQ, Leftenan Komander Haji Mohammad Arnold bin Haji Osman.

    Selanjutnya, upacara menyaksikan pengibaran Commissioning Pennant dan panji-panji TLDB di atas KDB AS-SIDDIQ yang diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan laungan Azan bagi memberkati pentauliahan KDB
    AS-SIDDIQ.

    Kemudian Baginda dijunjung bagi meninjau kapal berkenaan, sejurus itu Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah JAMA’AT.

    Upacara berakhir dengan sesi bergambar ramai di Jeti Bravo dengan berlatar belakangkan KDB AS-SIDDIQ dan seterusnya Baginda berangkat ke Mes Pegawai TLDB bagi sesi eksekutif bersama pemimpin-pemimpin dari Kementerian Pertahanan, angkatan bersenjata dan tentera laut Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, sebelum diteruskan dengan Majlis Santap Tengah Hari.

    Penyerahan kapal peronda milik TLRS tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai RSS BRAVE adalah tanda penghargaan dan persahabatan hasil kerjasama erat antara angkatan bersenjata dan tentera laut kedua-dua pihak.

    Perkataan AS-SIDDIQ yang diambil daripada bahasa Arab membawa maksud ‘benar’, mempunyai makna mendalam yang melambangkan hubungan dua hala yang kukuh antara TLDB dan TLRS.

    Selama bertahun-tahun, Brunei dan Singapura telah bekerjasama dengan rapat, yang dibina atas asas kepercayaan, saling hormat-menghormati dan persefahaman. Ciri-ciri berkenaan akan terus memainkan peranan penting dalam memperkuatkan kerjasama di antara kedua-dua negara dalam tahun-tahun mendatang.

    Upacara Pentauliahan KDB AS-SIDDIQ itu merupakan peristiwa penting dan bermakna dari segi diplomasi pertahanan antara Brunei dan Singapura, serta menjadi sejarah penting dalam perkembangan TLDB dan juga ABDB.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda