Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    KDNK ASEAN 2022 dijangka meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menghadiri sesi Retreat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-28 yang berlangsung secara sidang video pada 16 Mac lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Kemboja, Tuan Yang Terutama Pan Sorasak serta dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi dari keseluruhan negara anggota ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

    Kenyataan menyatakan bahawa AEM mengesahkan 19 Priority Economic Deliverables (PED) yang dicadangkan Kemboja yang dibahagikan kepada empat teras strategik iaitu meningkatkan kesalinghubungan digital, sains dan teknologi, merapatkan jurang pembangunan bagi kedayasaingan ASEAN, mempromosikan sebuah ASEAN yang lebih berintegrasi, inklusif, berdaya tahan dan kompetitif serta mengukuhkan ASEAN Global bagi pertumbuhan dan pembangunan.

    Sekretariat ASEAN memberikan taklimat semasa mesyuarat berkenaan mengenai pandangan ekonomi ASEAN di mana keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka tumbuh sebanyak 2.9 peratus pada 2021 dan antara 5.1 peratus hingga 5.8 peratus bagi 2022.

    Dalam hubungan itu, mesyuarat mengambil maklum bahawa beberapa buah negara anggota ASEAN, tidak lama lagi, akan beralih ke arah peringkat endemik dengan pembukaan semula sempadan. Ke arah itu, menteri-menteri yang bersidang mengesahkan perlunya bagi kerjasama rapat berterusan bagi kedayatahanan rangkaian bekalan dan meningkatkan kolaborasi merentas sektor bagi bidang-bidang pendigitalan dan kemapanan, khususnya menerusi inisiatif-inisiatif serantau melalui Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF), Peta Jalan bagi Transformasi Digital ASEAN Bandar Seri Begawan (BSBR) dan Perluasan Senarai Barangan Keperluan di bawah Memorandum Persefahaman bagi Pelaksanaan Langkah-langkah Bukan Tarif bagi Barangan Keperluan di bawah Pelan Tindakan Hanoi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menghadiri AEM Retreat Ke-28 yang diadakan secara persidangan video pada 16 Mac lalu. – Gambar serahan MOFE

    Mesyuarat juga menyeru bagi mempercepatkan pelaksanaan Rangka Kerja Aturan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) yang akan memudahkan lagi penyambungan semula perjalanan merentas sempadan. Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai status terkini Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN. Mesyuarat telah melancarkan rundingan naik taraf Perjanjian Perdagangan dalam Barangan ASEAN (ATIGA), dengan matlamat untuk mempromosikan integrasi ekonomi yang lebih mendalam dan meluas di rantau berkenaan, menyediakan persekitaran kondusif bagi pertumbuhan dan pembangunan serta juga memudahkan perdagangan.

    Di samping itu, negara-negara anggota ASEAN juga mengesahkan lagi komitmen bagi penaikan taraf ASEAN-Australia-New Zealand FTA (AANZFTA) yang sedang berjalan dalam memastikan perjanjian itu kekal sebagai sebuah perjanjian berstandard tinggi, relevan bagi perniagaan dan penduduk serta sesuai untuk tujuan dalam respons kepada COVID.

    Mesyuarat itu memberikan peluang bagi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) untuk mengadakan konsultasi dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN, di mana para menteri diberikan taklimat mengenai keutamaan dan inisiatif anggota-anggota ASEAN-BAC termasuk perkembangan terkini projek warisan (legacy project) Negara Brunei Darussalam bertajuk Harnessing Impact for Resilient Employability Digitally (HIRED) yang disampaikan oleh Yang Berhormat FDr Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty binti DSLJ Haji Abdul Rahman dan ASEAN Digital Gateway and Travel Wallet yang disampaikan oleh Dayang Haslina binti Taib.

    AEM Retreat ke-28 didahulukan dengan Mesyuarat Persediaan Pegawai-pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) yang diadakan pada 15 Mac di mana mesyuarat dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...