Sunday, September 29, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    KDNK negara meningkat 6.8 peratus

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Ekonomi Negara Brunei Darussalam mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif pada suku tahun pertama (Q1) 2024 iaitu sebanyak 6.8 peratus tahun-ke-tahun.

    Pertumbuhan tersebut didorong oleh peningkatan dalam sektor minyak dan gas sebanyak 8.9 peratus dan sektor bukan minyak dan gas sebanyak 5 peratus.

    Peningkatan bagi sektor minyak dan gas didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, gas asli dan gas cecair asli (LNG). Peningkatan itu adalah selaras dengan pengeluaran daripada penemuan padang minyak baharu.           

    Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas terus menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dengan peningkatan subsektor-subsektor seperti pembuatan produk petroleum dan kimia sebanyak 26.8 peratus, perhubungan sebanyak 17.2 peratus dan perdagangan borong dan runcit sebanyak 9.3 peratus.        

    Peningkatan bagi subsektor pembuatan produk petroleum dan kimia disebabkan terutamanya oleh peningkatan pengeluaran produk petrokimia dan baja urea.

    Manakala peningkatan bagi subsektor perhubungan adalah selaras dengan peningkatan jumlah pengguna telefon bimbit dan pelanggan Internet. Ia diikuti oleh subsektor perdagangan borong dan runcit yang meningkat selaras dengan peningkatan permintaan domestik.       

    Selain itu, sumbangan utama KDNK mengikut aktiviti ekonomi adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 59.5 peratus, diikuti sektor perkhidmatan sebanyak 39.3 peratus dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 1.2 peratus.

    Jumlah KDNK Negara Brunei Darussalam pada harga semasa Q1 2024 adalah sebanyak $5 bilion berbanding $4.9 bilion pada Q1 2023. Sektor bukan minyak dan gas telah menyumbangkan 53.1 peratus termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia dan sektor minyak dan gas sebanyak 46.9 peratus termasuk aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan LNG.

    Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan pertumbuhan KDNK pada Q1 2024 adalah didorong oleh peningkatan eksport bersih barangan dan perkhidmatan sebanyak 9.7 peratus dan pembentukan modal kasar sebanyak 9.1 peratus, diikuti oleh perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah sebanyak 7.5 peratus.     

    Walau bagaimanapun, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan mencatatkan penurunan sebanyak 5.1 peratus.                            

    KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.  

    Laporan penuh KDNK Q1 2024 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui deps.mofe.gov.bn

    Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda