Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ke arah industri pelancongan berdaya tahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Meskipun dengan pandemik dan penutupan sempadan antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam serta kelembapan ekonomi, jumlah perdagangan keseluruhan antara Brunei dan Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan di mana antara Januari hingga Oktober 2021, jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia-Brunei yang dicatatkan ialah RM6.4 bilion.

    Bagi tempoh yang sama pada 2020, jumlah perdagangan keseluruhan di antara kedua-dua buah negara adalah sebanyak RM3.9 bilion di mana pertumbuhan positif perdagangan dua hala itu dijangka akan terus optimis pada 2022.

    Perkara itu dikongsi oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dalam ucapannya pada Majlis Minum Petang Tourism Malaysia dengan Pemain-pemain Industri Pelancongan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Beliau turut menyatakan seperti yang dilaporkan pada Disember lalu, Malaysia telah memulakan perbincangan bagi penubuhan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan negara-negara jirannya termasuk Indonesia, Thailand dan Brunei di mana ia akan membuka jalan bagi pembukaan semula sempadan secara berperingkat-peringkat, selamat dan sistematik.

    Beliau menambah bahawa pembukaan semula sempadan berkenaan akan menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk serta meningkatkan ekonomi.

    Di samping itu, Pejabat Tourism Malaysia di Brunei, tambahnya, terus menjana hubungan kerjasama yang rapat dengan pemain-pemain pelancongan tempatan menerusi kerjasama pintar dan kolaborasi kempen promosi.

    Tourism Malaysia juga secara aktif menyokong industri pelancongan tempatan dalam pelbagai cara termasuk kolaborasi dengan Royal Brunei Culinary dalam menganjurkan Pesta Makanan Malaysia Tahunan serta juga penyertaan dalam SABRE Brunei Travel Fair.

    Beliau berharap hubungan kerjasama yang erat itu akan terus diperkukuhkan dengan semua pihak terus berganding bahu ke arah membina sebuah industri pelancongan yang lebih berdaya tahan.

    Beliau turut menerangkan bahawa perbincangan masih giat dilaksanakan mengenai perkara berkenaan dan berharap perkembangan mengenainya akan dapat dikongsi pada awal tahun ini.

    TYT Dato’ Raja Reza ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Minum Petang Tourism Malaysia dengan Pemain-pemain Industri Pelancongan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
    Antara para jemputan yang hadir pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda