Tuesday, April 29, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ke arah menjayakan wawasan Brunei 2035

    Oleh Nurdiyanah R. & Sim Y.H.
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Pelbagai agensi pembangunan negara termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta, persatuan, pelajar, belia dan kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam persembahan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja berkenan menyaksikan persembahan yang menggambarkan kesungguhan kerajaan Baginda dalam membangunkan sumber tenaga manusia demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Menjayakan Wawasan Negara’, merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang dimanifestasikan bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Persembahan-persembahan yang diadakan pada tahun ini berdasarkan lima segmen, dimulai dengan prolog berkisar mengenai ketahanan sesuatu bangsa dan negara terletak kepada kekuatan politik, ekonomi dan sosiobudaya.

    Ia diikuti pula dengan segmen kedua yang berkisar mengenai pembangunan bangsa bermula daripada rakyat yang bersatu hati dan juga tenaga dalam sama-sama memajukan agenda pembangunan negara, meningkatkan produktiviti dan ketahanan nasional.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan berangkat menghadiri Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam ke-37.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan berkenan dijunjung berangkat bagi memeriksa perbarisan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat beramah mesra bersama peserta persembahan. Berangkat sama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
    Berangkat sama DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir berkenan beramah mesra bersama pasukan pembaca ikrar.
    Bacaan ikrar oleh pasukan pembaca ikrar dipimpin oleh Pengiran Dr Muhammad Nadzir.
    Wakil-wakil dari syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta dari DARe, imagine, Progresif, DST, UNN, Bank Baiduri, RB dan lain-lain turut memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam ke-37.
    Murid-murid Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang mengikuti persembahan padang.
    Para peserta mengambil bahagian dalam acara perbarisan lalu.

    SOP COVID-19 turut dilaksanakan.

    Amalan berbudaya dan bernegara adalah tonggak kepada kesurvivalan bangsa.

    Persembahan segmen ketiga adalah mengenai suasana harmoni dan bersatu padu di mana pembangunan negara juga dapat dicapai dengan adanya penyertaan dari masyarakat lain, demi bersama-sama sehati sejiwa memakmurkan tanah air yang dicintai menerusi sifat saling hormat-menghormati dan bekerjasama.

    Manakala segmen keempat pula menjurus kepada mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 yang merupakan gagasan terhadap pembangunan bangsa menuju ‘Brunei Maju.’

    Sumber tenaga manusia yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya adalah tonggak kepada pencapaian hasrat negara. Rakyat tidak harus leka dalam arus pembangunan yang tidak berlatarbelakangkan sejarah, ketamadunan dan peradaban.

    Persembahan diakhiri dengan menjelaskan bahawa kemajuan haruslah dicapai berasaskan kepada Purih Bangsa yang tabah, gagah, berhemah tinggi, bermaruah dan berperibadi serta bersopan dan sedar harga diri.

    Secara umumnya, persembahan-persembahan menunjukkan sejarah ketamadunan dan peradaban bangsa telah membuktikan bahawa rakyat dan penduduk sebagai sumber tenaga manusia mempunyai peranan yang penting dalam membangun bangsa dan negara demi menjayakan Wawasan Negara 2035.

    Justeru itu, setiap rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam perlu mengatur langkah demi menjadikan diri mereka sebagai aset yang berguna dalam agenda pembangunan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda