Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keajaiban sungai dan air terjun Malaysia

    MALAYSIA – Hari panas dan kering sudah tiba dan ia dijangka akan berlarutan sehingga Mei di banyak negeri, didorong oleh fenomena cuaca El Nino yang ekstrem.

    Namun di tengah-tengah musim kering, terdapat kejutan yang menyaksikan keajaiban alam semula jadi di sungai dan air terjun tertentu di seluruh negara.

    Contohnya sungai yang terletak di Terengganu dan air terjun di Kedah. Di Terengganu, awda akan temui sungai yang berkilauan sejernih zamrud.

    Berbeza dengan perairan biasa yang dipenuhi dengan alga yang keruh, sungai berhampiran Jertih ini kelihatan jernih dan hening bagaikan permata yang digilap.

    Terokai bahagian hulu, yang dikenali sebagai Lata Kolam Air Deru, dan awda akan temui taman eko yang dikendalikan oleh Kaswadi Harun.

    Semakin dalam hamparan Sungai Air Hangat di Terengganu, semakin cantik rona hijau zamrud sungai pada musim kemarau. – ANN/The Star
    Air terjun berkabus Bukit Perangin di Kedah ini hanya boleh dilihat pada musim kemarau. – ANN/The Star
    Terokai air berwarna hijau dengan oksida semula jadi di sepanjang Sungai Air Hangat di Terengganu. – ANN/The Star

    “Jika awda menggunakan kamera bawah air di sini, awda boleh merakam video sendiri dan rakan awda yang berenang di bawah. Awda boleh mengambil gambar yang jelas tentang ikan-ikan kecil yang berenang di sekeliling,” kata Kaswadi.

    Sungai itu mengalir turun dari gunung setinggi kira-kira 1,000 meter (m) yang dahulunya mempunyai ruang pembalakan tetapi kini menjadi hutan simpan untuk pokok tumbuh semula.

    Tiada aktiviti perladangan mahupun pertanian di hulu Lata Kolam Air Deru, jadi apabila hutan tidak terganggu, air Sungai Air Hangat tidak dicemari oleh lumpur atau pembuangan baja.

    “Sebenarnya banyak anak sungai dan sungai di kawasan berbukit Terengganu berada dalam keadaan sedemikian pada musim kemarau. Namun dengan Sungai Air Hangat, awda boleh memandu sepanjang jalan masuk dan sampai ke sungai selepas berjalan kaki dalam jarak yang dekat.

    Sungai itu mengalir di sepanjang bongkah-bongkah besar pada kelajuan sedemikian sehingga Kaswadi berkata kebanyakan batu itu tidak dilitupi lumut atau alga.

    Merentasi pusaran air dan kolam, pengembara sebelumnya telah mengikat tali untuk dipegang oleh semua orang semasa mereka menyeberang bagi meneroka tebing yang bertentangan.

    Keindahan terkini sungai itu, kata Kaswadi, akan bertahan sehingga Oktober, apabila hujan bermusim mungkin sedikit mengeruhkan perairannya.

    “Pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, seramai 3,000 orang datang ke taman eko kami untuk berkhemah dan berkelah atau sekadar bermain di sungai,” katanya.

    “Jika awda ingin meluangkan masa yang tenang, datang pada hari-hari lain,” tambahnya.

    Di Kedah, musim kering telah memberikan keindahan yang luar biasa kepada air terjun Bukit Perangin di Changlun.

    Dengan matahari memancarkan cahayanya pada sudut yang sempurna, lata itu berubah menjadi kabus yang memukau, menggambarkan pelangi yang cantik di langit.

    Terletak di kawasan tengah utara tidak jauh dari sempadan Thailand, Bukit Perangin terletak di hutan simpan kekal dan pengembara dikehendaki mendaftar dengan Jabatan Perhutanan Kedah sebelum masuk dengan menggunakan aplikasi iForest Kedah, tersedia untuk dimuat turun di Google Play Store.

    Penduduk Alor Setar dan seorang pejalan kaki biasa, Din Ismail, melawat Bukit Perangin baru-baru ini dan terkejut dengan betapa lembut air yang mengalir turun dari ketinggian kira-kira 60m, dan menceritakan bahawa berdiri di bawah renyai-renyai air terjun itu terasa seperti diselubungi pelukan alam semula jadi.

    Untuk sampai ke kawasan permata tersembunyi itu memerlukan perjalanan menerusi rupa bumi lasak, bukti hutan asli yang menunggu untuk diterokai pengembara.

    Tidak dinafikan Bukit Perangin mempunyai daya tarikan, namun Din menasihatkan pejalan kaki baharu untuk meneruskan perjalanan dengan hati-hati, memandangkan perjalanan yang mencabar sejauh 7 kilometer (km) hingga 10km melalui hutan berbukit.

    Dia masih ingat semasa tersesat dalam perjalanan pertamanya ke air terjun. Selepas memuat turun peta yang lebih baik ke dalam aplikasi hiking dan berhati-hati bergantung pada penjejak GPS, dia menemui air terjun itu pada percubaan solo kedua.

    “Saya sudah biasa mendaki seorang diri. Tetapi jika awda ingin melawat air terjun ini, awda mungkin mahukan panduan. Cari sahaja Bukit Perangin di internet dan awda boleh dapatkan perkhidmatan panduan,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda